DUNIA

Trump persoal dakwaan Netanyahu tiada kebuluran di Gaza

Agensi 28/07/2025 | 23:00 MYT
Menurut Trump, krisis kebuluran di Gaza merupakan hal yang sangat nyata dan menuntut tindakan segera. Gambar menunjukkan rakyat Palestin menunggu giliran untuk mendapatkan makanan daripada dapur kebajikan pada Isnin. - Gambar Reuters
EDINBURGH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keraguan terhadap dakwaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa tiada kebuluran berlaku di Gaza.

Dalam satu sidang media semasa lawatannya ke Scotland untuk bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Trump berkata, beliau tidak pasti untuk bersetuju dengan kenyataan Netanyahu, yang menafikan Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata dalam konflik berpanjangan itu.

“Saya tidak tahu. Berdasarkan apa yang saya lihat di televisyen, saya rasa tidak begitu (benar). Anak-anak itu kelihatan sangat lapar,” katanya merujuk kepada imej kanak-kanak Palestin yang kebuluran di Gaza, yang kini mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.

Netanyahu sebelum ini mendakwa Israel tidak mengamalkan dasar kebuluran terhadap penduduk Gaza walaupun angka kematian akibat kekurangan makanan terus meningkat susulan sekatan berterusan ke atas wilayah berkenaan.

Tambah Trump lagi, keadaan di Gaza amat menyedihkan dan menuntut tindakan segera.

“Seluruh tempat itu berantakan, mereka perlu dapatkan makanan dan keselamatan sekarang juga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Trump mengumumkan penubuhan pusat agihan makanan di Gaza bagi menangani krisis kebuluran dan kekurangan zat yang semakin meruncing susulan sekatan bantuan oleh Israel.

Trump berkata, Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan beberapa pihak antarabangsa dalam usaha segera menyediakan bantuan makanan kepada rakyat Gaza yang terjejas.

“Kami akan tubuh pusat makanan. Kami akan lakukannya bersama beberapa pihak yang baik, dan kami akan salurkan dana. Kami ada banyak wang – baru sahaja menjana trilion dolar. Kami akan gunakan sebahagiannya untuk makanan. Beberapa negara lain juga akan sertai kami,” katanya kepada wartawan semasa lawatan ke Turnberry,.

Trump menegaskan, pusat makanan itu akan dibuka kepada semua tanpa halangan sempadan atau pagar, bagi memastikan akses mudah kepada penduduk yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau mengakui, Israel turut memikul tanggungjawab terhadap sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, meskipun secara konsisten menyalahkan Hamas kerana didakwa menangguhkan pengagihan bantuan kepada orang awam.

Beliau juga sekali lagi menggesa Hamas membebaskan baki tebusan yang masih ditahan sebagai langkah penting untuk membuka laluan kepada rundingan lebih berkesan. - Agensi



#Donald Trump #Benjamin Netanyahu #Trump persoal Netanyahu #kebuluran di Gaza