Trump pertahan Putera Mahkota Arab Saudi, dakwa Mohammed bin Salman tidak tahu pembunuhan Khashoggi

Presiden Trump (kanan) dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berjabat tangan pada pertemuan antara kedua pemimpin itu di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Selasa. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman tidak mengetahui mengenai pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018, sekali gus bercanggah dengan penilaian agensi risikan AS.
“Beliau tidak tahu apa-apa mengenainya (pembunuhan Khashoggi) dan kita boleh hentikan di situ,” kata Trump ketika sidang media di White House, di sini, sempena lawatan rasmi Putera Mahkota.
Kenyataan Presiden Trump itu bertentangan dengan laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sebelum ini menilai Putera Mahkota berkemungkinan mengarahkan pembunuhan Khashoggi di Konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Trump yang menepis soalan berhubung pembunuhan Khashoggi mendakwa, wartawan itu seorang yang “sangat kontroversi” dan menegaskan, isu itu hanya dibangkitkan untuk memalukan tetamunya, Putera Mahkota dari Arab Saudi.
Ketika ditanya mengenai pembunuhan Khashoggi, Trump kelihatan berang dan berkata: “Anda tidak perlu memalukan tetamu kami dengan soalan seperti itu.
“Ramai yang tidak menyukai individu itu. Sama ada anda suka atau tidak, perkara sebegini berlaku,” kata Trump.
Lawatan penuh istiadat
Lawatan Mohammed bin Salman ke Washington menandakan berakhirnya tempoh pengasingan diplomatik terhadap Putera Mahkota selepas insiden Khashoggi.
Bagind disambut dengan penuh istiadat termasuk kawalan kehormat, persembahan muzik tentera, dan jamuan makan malam rasmi.
Dalam masa sama, Trump memuji rekod hak asasi Putera Mahkota dan mengumumkan perjanjian pelaburan baharu serta rancangan menjual jet pejuang F-35 kepada Riyadh.
Bagaimanapun, Putera Mahkota tidak memberi komitmen terhadap beberapa agenda utama Trump.
Putera Mahkota: ‘Kesilapan besar’
Dalam reaksi segeranya, Putera Mahkota pula menyifatkan insiden itu sebagai “kesilapan besar” dan menegaskan siasatan telah dijalankan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Ini amat menyakitkan dan satu kesilapan besar. Kami telah mengambil langkah siasatan yang betul dan berusaha agar ia tidak berulang,” katanya.
Reaksi balu Khashoggi
Sementara itu, dalam reaksi balasnya, balu Khashoggi, Hanan Elatr menolak dakwaan Trump bahawa suaminya “kontroversi” sebagai alasan pembunuhan.
“Ini bukan justifikasi untuk membunuhnya. Jamal seorang yang berani dan telus,” katanya.
Laporan CIA pada 2021 mendapati Putera Mahkota meluluskan operasi pembunuhan itu, namun beliau terus menafikan penglibatan.
Hubungan strategik AS-Arab Saudi
Trump kini berusaha mengukuhkan hubungan dengan Riyadh, termasuk merancang perjanjian pertahanan dan program nuklear awam.
Putera Mahkota pula mengumumkan komitmen pelaburan baharu bernilai AS$1 trilion di Amerika Syarikat.
Trump juga berharap Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham dengan menormalkan hubungan bersama Israel, namun Putera Mahkota menegaskan, ia hanya berlaku jika wujud laluan jelas ke arah penyelesaian dua negara bagi Palestin. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


