DUNIA

Trump pertimbang bom Iran sekali lagi, batal rancangan pelonggaran sekatan

Agensi 27/06/2025 | 23:00 MYT
Trump mendedahkan, beliau sebelum ini sedang mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan terhadap Iran bagi membolehkan negara itu pulih dengan segera, namun, kini membatalkan rancangan itu. - Ilustrasi Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat mengkritik hebat pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta membatalkan rancangan untuk menarik balik sekatan terhadap Tehran, sambil menyatakan beliau tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan serangan bom ke atas Iran sekali lagi sekiranya negara itu terus meningkatkan uranium ke tahap membimbangkan.
Trump memberi reaksi tegas terhadap kenyataan pertama Khamenei selepas konflik 12 hari dengan Israel yang berakhir dengan serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran hujung minggu lalu.
Khamenei sebelum itu mendakwa Iran telah "menampar muka Amerika" dengan melancarkan serangan balas ke atas sebuah pangkalan tentera utama AS di Qatar selepas serangan tersebut, sambil menegaskan, Iran tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan asing.
Trump pula mendakwa, beliau telah menyelamatkan nyawa Khamenei.
Menurut pegawai AS kepada Reuters pada 15 Jun, Trump sebelum ini menolak rancangan Israel untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran itu.
"Negaranya musnah, tiga tapak nuklear jahatnya dimusnahkan sepenuhnya, dan saya tahu lokasi persembunyiannya tetapi saya tidak benarkan Israel atau angkatan tentera AS, yang terkuat di dunia, untuk mengambil nyawanya," kata Trump menerusi hantaran media sosial.
"Saya selamatkan dia daripada kematian yang hodoh dan memalukan," ujarnya lagi.
Batal pelan pelonggaran sekatan
Dalam masa sama, Trump turut mendedahkan, beliau sebelum ini sedang mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan terhadap Iran bagi membolehkan negara itu pulih dengan segera.
Namun, rancangan itu kini dibatalkan susulan kenyataan keras Khamenei.
"Saya dihentam dengan kenyataan penuh kebencian dan kemarahan, maka saya serta-merta batalkan semua usaha ke arah pelonggaran sekatan dan banyak lagi," katanya.
Ketika ditanya dalam sidang media di White House mengenai kemungkinan melancarkan semula serangan ke atas tapak nuklear Iran, Trump tidak menolak.
“Sudah tentu, tanpa ragu, memang boleh,” tegasnya.
Tuntut pemeriksaan tapak nuklear
Trump turut menyatakan beliau mahu pemeriksa daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) atau badan berwibawa lain diberikan akses ke tapak-tapak nuklear Iran yang telah dibom.
Kata Trump, beliau percaya semua tapak tersebut telah "dimusnahkan sepenuhnya" dan menolak sebarang dakwaan yang menyatakan tahap kerosakan tidak seperti yang didakwanya.
Namun begitu, Trump tetap menyokong usaha IAEA untuk menjalankan pemeriksaan terhadap tapak-tapak berkenaan.
Ketua IAEA, Rafael Grossi, pada Rabu berkata, keutamaannya kini adalah untuk menyambung semula pemeriksaan di Iran selepas serangan Israel bermula pada 13 Jun.
Bagaimanapun, Parlimen Iran pada hari sama telah meluluskan langkah untuk menggantung semua bentuk pemeriksaan tersebut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, pada Jumaat memberi bayangan Tehran mungkin menolak sebarang permintaan baharu daripada IAEA untuk menjalankan lawatan pemeriksaan.
Trump turut menyatakan keyakinan bahawa Iran kini tidak lagi berhasrat untuk membangunkan senjata nuklear selepas siri serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Katanya, Iran kini berada dalam keadaan "keletihan."
Tambahnya lagi, Iran masih menunjukkan minat untuk berbincang mengenai hala tuju seterusnya.
Namun, menurut kenyataan White House pada Khamis, tiada sebarang pertemuan antara AS dan delegasi Iran dijadualkan setakat ini. - Agensi
#konflik Israel-Iran #Amerika Syarikat #Donald Trump #bom Iran