Skip to main content

Dunia

Trump puji pertemuan dengan Presiden Brazil meskipun hubungan pernah tegang

U.S. President Donald Trump listens to Brazilian President Luiz Inacio Lula da Silva speak as they meet on the sidelines of the 47th Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) summit in Kuala Lumpur, Malaysia, October 26, 2025. REUTERS/Evelyn Hockstein
Hubungan Presiden Trump (kiri) dan Presiden Lula dilihat mula bertambah baik selepas kedua-duanya bertemu di Malaysia tahun lalu dan mengadakan beberapa perbualan telefon, dengan Trump pernah memuji keserasian mereka sebagai “sangat baik.” - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pertemuannya dengan rakan sejawat dari Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, berlangsung dengan baik, meskipun kedua-dua pemimpin itu sebelum ini berdepan ketegangan hubungan akibat perbezaan ideologi.

Trump berkata, pertemuan di White House pada Khamis (7 Mei) itu menyaksikan perbincangan menyeluruh mengenai beberapa isu utama termasuk perdagangan dan tarif.

“Kami baru sahaja menamatkan pertemuan dengan Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Brazil yang sangat dinamik. Kami membincangkan banyak perkara termasuk perdagangan dan secara khusus berkaitan tarif. 

"Pertemuan ini berjalan dengan sangat baik,” kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.

Menurut Trump, wakil kedua-dua negara dijadualkan mengadakan pertemuan susulan bagi membincangkan beberapa elemen penting, selain merancang pertemuan tambahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, pertemuan tersebut yang pada awalnya dijangka dibuka kepada media, akhirnya diadakan secara tertutup.

Presiden Brazil berhaluan kiri itu, yang kini berusia 80 tahun, sebelum ini sering berdepan pertembungan pendapat dengan Trump, 79, termasuk berkaitan isu tarif perdagangan dan pendekatan Amerika Syarikat dalam mengukuhkan pengaruhnya di benua Amerika.

Namun, hubungan kedua-dua pemimpin dilihat semakin reda dalam beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya ketika Lula berusaha memperkukuh kedudukannya di dalam negara menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung sengit pada Oktober ini.

Pada Julai lalu, Trump mengenakan tarif tinggi ke atas semua produk Brazil sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai “pemburuan sihir” terhadap sekutunya, bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Bolsonaro ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 27 tahun berkaitan cubaan rampasan kuasa.

Lula sebelum ini secara terbuka membantah tindakan perdagangan AS dan pernah menyifatkan Trump sebagai seorang yang mahu menjadi “maharaja dunia.” 

Beliau juga lantang mengkritik penggulingan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat bersama Israel terhadap Iran.

Bagaimanapun, hubungan dilihat mula bertambah baik selepas kedua-duanya bertemu di Malaysia tahun lalu dan mengadakan beberapa perbualan telefon, dengan Trump pernah memuji keserasian mereka sebagai “sangat baik.”

Sejak itu, Amerika Syarikat turut mengurangkan sebahagian tarif yang dikenakan ke atas Brazil, sekali gus meredakan ketegangan antara dua ekonomi terbesar di benua Amerika.

Hubungan peribadi jadi tumpuan

Lula hadir ke pertemuan itu dalam keadaan kedudukan politik yang semakin mencabar susulan beberapa keputusan tidak memihak kepadanya di Kongres Brazil. 

Dalam tinjauan pendapat terkini, beliau terikat dengan Senator Flavio Bolsonaro, anak sulung Jair Bolsonaro, menjelang pilihan raya akan datang.

Lula kini sedang berusaha mendapatkan penggal keempat secara tidak berturut-turut sebagai Presiden Brazil.

Profesor hubungan antarabangsa di Yayasan Getulio Vargas, Oliver Stuenkel berkata, Lula mahu mengukuhkan hubungan peribadi dengan Trump bagi mengurangkan risiko campur tangan Amerika Syarikat dalam pilihan raya Brazil, termasuk sokongan terbuka kepada Flavio Bolsonaro.

Isu keselamatan menjadi keutamaan utama pengundi Brazil menjelang pilihan raya, dan usaha memerangi jenayah terancang menjadi antara topik penting dalam pertemuan kedua-dua pemimpin.

Menteri Kewangan Brazil, Dario Durigan berkata, negaranya berhasrat memperluas kerjasama dengan AS dalam memerangi kartel jenayah. 

Kedua-dua kerajaan pada April lalu menandatangani perjanjian perkongsian maklumat bagi membanteras penyeludupan senjata dan dadah, termasuk penggunaan data imbasan sinar-X terhadap kontena dari AS ke Brazil.

Trump turut menjadikan usaha memerangi apa yang digelarnya sebagai “narko-keganasan” sebagai keutamaan dalam penggal keduanya, termasuk dengan mengklasifikasikan kartel utama sebagai pertubuhan pengganas asing.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai rizab mineral nadir bumi Brazil yang amat penting dalam pengeluaran barangan teknologi tinggi. 

Brazil mempunyai rizab kedua terbesar dunia selepas China.

Pada Rabu, penggubal undang-undang Brazil turut memajukan satu rang undang-undang bagi menggalakkan aktiviti perlombongan mineral, yang akan dibahaskan di Senat.

Dalam pada itu, Washington juga sedang menyiasat Brazil berhubung dakwaan amalan perdagangan tidak adil, termasuk sistem pembayaran elektronik percuma PIX, yang didakwa menjejaskan daya saing syarikat Amerika Syarikat. - Agensi
 

Must Watch Video