DUNIA
Trump puji pertemuan pertama dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa
Presiden Trump mengadakan pertemuan dengan Presiden Al-Sharaa di Riyadh, Arab Saudi, pada Rabu. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu menyifatkan pertemuan pertamanya dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa sebagai "hebat," selain memuji potensi pemimpin itu dalam kenyataan di atas pesawat Air Force One, lapor Anadolu Ajansi.
"Seorang lelaki muda yang menarik. Tegas dan berani. Ada latar belakang yang kukuh, sangat kukuh. Seorang pejuang," kata Trump kepada pemberita.
"Beliau memang ada peluang sebenar untuk menguruskan keadaan dengan baik."
Pertemuan itu diadakan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh dan turut disertai Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman manakala Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyertai melalui panggilan telefon.
"Saya bercakap dengan Presiden Erdogan yang sangat mesra dengannya. Beliau rasa al-Sharaa berpotensi melakukan tugas yang baik," kata Trump.
Presiden AS itu menambah, beliau menggalakkan Syria menyertai Perjanjian Abraham sebaik sahaja isu dalaman negara itu dapat diselesaikan.
Perjanjian Abraham merupakan pakatan kontroversi yang dimeterai semasa penggal pertama Trump bagi menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dan beberapa negara Arab di rantau itu.
Trump pada Rabu turut mengumumkan AS akan menarik balik sekatan terhadap Syria.
-- BERNAMA