DUNIA

Trump puji Sydney Sweeney di sebalik kontroversi iklan jeans

Astro Awani 05/08/2025 | 02:10 MYT
Trump menyifatkan iklan American Eagle sebagai "paling hangat" dan menyokong Sweeney kerana beliau pengundi Parti Republikan. - Foto X/Pop Base
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah menarik perhatian ramai apabila secara terbuka memuji pelakon Sydney Sweeney susulan kontroversi iklan jenama pakaian American Eagle yang dibintangi oleh aktres tersebut.


Ringkasan AI
  • Trump menyifatkan iklan American Eagle sebagai "paling hangat" dan menyokong Sweeney kerana beliau pengundi Parti Republikan.
  • Permainan kata antara "genes" dan "jeans" dianggap oleh sesetengah penonton sebagai merujuk kepada retorik eugenik.
  • Tokoh Republikan pertahankan Sweeney, manakala saham syarikat meningkat 20 peratus selepas sokongan Trump.


Trump menyifatkan iklan itu sebagai “paling hangat” dan menyokong Sweeney selepas mengetahui bahawa beliau merupakan pengundi berdaftar Parti Republikan.

Iklan tersebut menampilkan Sweeney dalam kempen denim dengan slogan “Sydney Sweeney has great jeans,” disertai permainan kata antara “genes” (genetik) dan “jeans” (seluar).

“Gen diwarisi daripada ibu bapa kepada anak… Seluar jeans saya berwarna biru," kata Sweeney dalam salah satu video.

Kritikan timbul apabila sebahagian penonton menganggap penggunaan istilah “genes” oleh pelakon berambut perang dan bermata biru itu sebagai merujuk kepada retorik eugenik dan standard kecantikan Barat.

“Sydney Sweeney, seorang ahli Parti Republikan berdaftar, tampil dalam iklan PALING HANGAT ketika ini. Teruskan, Sydney!” tulis Trump di Truth Social.


Sokongan terhadap Sweeney turut datang daripada tokoh konservatif lain seperti Senator Ted Cruz dan Naib Presiden JD Vance, yang menyifatkan kritikan terhadap iklan itu sebagai “terlalu bangkitkan isu perkauman” dan “serangan terhadap wanita cantik”.

Sejak Trump menyuarakan sokongan, saham American Eagle dilaporkan melonjak sehingga 20 peratus.

Sweeney sendiri belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun sebelum ini pernah meminta orang ramai agar tidak membuat andaian politik terhadap dirinya selepas gambar parti keluarganya menunjukkan tetamu memakai topi “Make America Great Again.”






#Donald Trump #Sydney Sweeney #iklan jeans #Republikan