DUNIA

Trump rancang kenakan tarif lebih 10 peratus ke atas negara kecil

Bernama 16/07/2025 | 06:50 MYT
Trump turut menyatakan bahawa beliau "mungkin" akan mengumumkan tarif ke atas ubat-ubatan farmaseutikal pada "akhir bulan ini". - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata beliau merancang untuk mengenakan tarif melebihi 10 peratus ke atas negara kecil, termasuk negara di Afrika dan Caribbean, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merancang mengenakan tarif melebihi 10 peratus ke atas negara kecil termasuk di Afrika dan Caribbean, melibatkan sekurang-kurangnya 100 negara.
  • Trump mengumumkan perjanjian dengan Indonesia yang menetapkan tarif 19 peratus ke atas eksport Indonesia ke AS, manakala eksport AS ke Indonesia bebas tarif.
  • Beliau turut menghantar surat kepada beberapa pemimpin negara mengenai pelaksanaan tarif antara 20 hingga 50 peratus bermula 1 Ogos, dan mungkin akan mengenakan tarif ke atas ubat-ubatan farmaseutikal hujung bulan ini.


"Kami mungkin menetapkan satu kadar tarif yang sama untuk kesemua mereka," kata Trump kepada wartawan di Joint Base Andrews di Maryland. Menurut laporan Associated Press, tarif itu boleh mencecah "sedikit melebihi 10 peratus" ke atas barangan dari sekurang-kurangnya 100 negara.

Terdahulu pada hari sama, Trump mengumumkan perjanjian dengan Indonesia, iaitu Indonesia akan dikenakan tarif 19 peratus bagi semua barangan yang dieksport ke AS, manakala eksport AS ke Indonesia akan bebas daripada halangan tarif dan bukan tarif.

Presiden itu juga dilaporkan telah menghantar surat kepada beberapa pemimpin negara, termasuk rakan dagang utama AS, untuk memaklumkan mengenai pelaksanaan tarif antara 20 hingga 50 peratus yang akan bermula 1 Ogos ini.

Trump turut menyatakan bahawa beliau "mungkin" akan mengumumkan tarif ke atas ubat-ubatan farmaseutikal pada "akhir bulan ini".

-- BERNAMA



#Donald Trump #tarif AS #negara kecil #negara Afrika