DUNIA
Trump rancang lawatan ke Mesir, jangka tebusan dibebas minggu depan
Trump akan cuba menghadiri majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata Gaza di Mesir, sambil menambah Hamas dijangka membebaskan tebusan pada Isnin atau Selasa depan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan cuba menghadiri majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata Gaza di Mesir, sambil menambah Hamas dijangka membebaskan tebusan pada Isnin atau Selasa depan di bawah perjanjian yang lama dinanti-nantikan itu.
Bercakap pada mesyuarat kabinet pada Khamis, Trump berkata, perjanjian antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu telah “menamatkan perang di Gaza” dan akan membuka jalan kepada keamanan yang lebih meluas di Asia Barat.
“Kami telah memperoleh pembebasan semua tebusan yang masih ditahan, dan mereka dijangka dibebaskan pada Isnin atau Selasa,” kata Trump kepada barisan Setiausaha Kabinetnya di White House.
Bagaimanapun, beliau mengakui, mayat sebahagian tebusan yang terbunuh mungkin “sukar untuk ditemui”.
Trump mengumumkan rancangan untuk ke Asia Barat termasuk kemungkinan singgah di Mesir, walaupun jadual lawatan masih dalam peringkat perancangan.
“Saya akan cuba ke sana. Kami sedang menyusun masa yang sesuai untuk lawatan itu,” katanya.
Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sebelum ini memaklumkan, beliau telah menjemput Trump menghadiri “majlis sambutan” di Mesir sempena kejayaan menandatangani fasa pertama perjanjian gencatan senjata tersebut.
Trump turut memaklumkan beliau dijangka melawat Israel dan telah menerima jemputan untuk berucap di Parlimen negara itu.
“Mereka menjemput saya untuk berucap di Knesset dan... saya telah bersetuju. Jika mereka mahu saya berbuat demikian, saya akan lakukannya,” katanya menjawab soalan wartawan.
Namun, dakwaan Trump bahawa beliau akan menjadi Presiden AS pertama berucap di Knesset adalah tidak benar, kerana laman rasmi Parlimen Israel menyenaraikan bekas Presiden AS, George W. Bush, Bill Clinton dan Jimmy Carter antara yang pernah berucap di sana.
‘Panggilan telefon luar biasa’
Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai fasa kedua pelan damai atau masa depan Gaza, namun berkata, akan ada proses “pelucutan senjata dan pengunduran”, merujuk kepada tuntutan Israel agar Hamas melucutkan senjata serta gesaan kumpulan itu supaya Israel menarik keluar tenteranya.
Beliau menambah,Gaza akan “dibangunkan semula secara berperingkat” dengan bantuan negara-negara Arab kaya, yang juga mungkin terlibat dalam misi pengaman.
Trump tidak mengulas sama ada beliau menjangkakan impian lamanya untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel akan menjadi kenyataan.
Namun, para pegawai kabinetnya memuji peranan beliau, termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang sehari sebelumnya menyerahkan nota kepada Trump menyatakan bahawa perjanjian damai sudah hampir dimuktamadkan.
“Terus terang, saya tidak tahu ada mana-mana Presiden AS dalam era moden yang mampu menjayakan hal ini,” kata Rubio.
Rubio turut memberi bayangan mengenai rundingan sukar yang membawa kepada perjanjian tersebut, termasuk tekanan Trump terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta usaha beliau memujuk negara-negara Arab dan Islam agar mendesak Hamas.
“Suatu hari nanti, mungkin keseluruhan kisah ini akan diceritakan,” kata Rubio.
“Presiden telah mengadakan beberapa panggilan telefon dan pertemuan luar biasa yang memerlukan tahap komitmen dan keazaman tinggi untuk menjayakannya.” - Agensi