Trump sahkan beri kebenaran CIA jalankan operasi rahsia di Venezuela

Menurut Trump, kebenaran yang diberikan kepada CIA itu membolehkan agensi itu menjalankan operasi sama ada secara bersendirian atau bersama angkatan tentera AS. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau memberi kebenaran kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk melaksanakan operasi rahsia di Venezuela, sambil mempertimbangkan serangan ke atas kartel dadah di rantau itu.
Menurut laporan New York Times, kebenaran itu membolehkan CIA menjalankan operasi sama ada secara bersendirian atau bersama angkatan tentera AS.
Bercakap di White House, Trump berkata, AS kini “melihat kepada kawasan darat” ketika menilai tindakan lanjut selepas beberapa siri serangan laut di Caribbean yang disasarkan terhadap bot disyaki membawa dadah.
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, sekurang-kurangnya lima serangan dilaporkan mengakibatkan 27 maut - tindakan yang disifatkan oleh pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “pembunuhan di luar proses undang-undang.”“Saya beri kebenaran atas dua sebab,” kata Trump ketika ditanya mengenai laporan New York Times.
“Pertama, Venezuela telah melepaskan banduan mereka ke Amerika Syarikat. Kedua, kami menerima banyak penghantaran dadah dari Venezuela - bukan sahaja melalui laut, tetapi juga melalui darat, dan kami akan hentikannya.”
Kenyataan itu dianggap luar biasa bagi seorang Presiden AS kerana pengakuan terbuka mengenai operasi CIA jarang dibuat secara rasmi.
Trump menolak untuk menjawab sama ada kebenaran itu termasuk usaha menumbangkan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro yang sebelum ini dituduh Washington menipu dalam pilihan raya dan ditawarkan ganjaran AS$50 juta bagi penangkapannya.
“Tidakkah itu satu soalan yang tidak wajar untuk saya jawab?” katanya.
Dalam serangan terbaru pada Selasa, enam individu terbunuh apabila sebuah bot diserang berhampiran pantai Venezuela.
Trump kemudian menulis di platform Truth Social bahawa risikan mengesahkan kapal itu digunakan untuk menyeludup dadah dan dikaitkan dengan rangkaian “narkoterorisme.”
Sementara itu, Maduro bertindak balas dengan mengarahkan latihan ketenteraan besar-besaran di Caracas dan negeri jiran, Miranda, bagi memperkukuh pertahanan negara.
Dalam mesej di Telegram, beliau menyeru tentera, polis dan militia awam untuk “mempertahankan Venezuela dan menangi keamanan.”
Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez pula memberi amaran keras di televisyen agar “tiada pihak luar berani menceroboh” sambil menegaskan rakyat Venezuela akan mempertahankan tanah air mereka “seperti pejuang Bolívar dahulu.”
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello menuduh AS cuba “merampas kekayaan sumber asli Venezuela” menerusi helah ketenteraan.
Ketegangan semakin meningkat selepas Trump menghantar lapan kapal perang, sebuah kapal selam nuklear dan jet pejuang ke Caribbean atas alasan memerangi penyeludupan dadah.
Dalam memo yang bocor kepada Kongres AS, pentadbiran Trump menyatakan negara itu kini “terlibat dalam konflik bersenjata bukan antarabangsa” dengan kumpulan penyeludup dadah.
Washington turut menuduh Maduro mengetuai kumpulan dikenali sebagai Cartel of the Suns, yang didakwa melibatkan pegawai tinggi tentera dan keselamatan Venezuela - dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Maduro. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami