[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
DUNIA

Trump sahkan perjanjian perdagangan AS-China dimeterai pada Rabu

Bernama 27/06/2025 | 02:00 MYT
Trump mengesahkan pada Rabu bahawa AS telah memeterai perjanjian perdagangan dengan China. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan pada Rabu bahawa AS telah memeterai perjanjian perdagangan dengan China.
"Ya, kami baru sahaja menandatangani perjanjian dengan China semalam, bukan? Baru tandatangan dengan China," kata Trump dalam acara One Big Beautiful Bill di White House pada Khamis, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), meskipun butiran perjanjian itu masih belum diumumkan secara rasmi.
Beliau menambah bahawa perjanjian itu menandakan langkah ke arah membuka pasaran China, sambil berkata: "Dalam perjanjian China, kami telah mula mendapat akses ke pasaran China. Sesuatu yang sebelum ini tidak mungkin berlaku."
Awal bulan ini, pegawai AS dan China mengadakan rundingan berkaitan tarif di London.
AS mula mengenakan tarif besar terhadap barangan import dari China pada April, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik semula sebahagian tarif itu secara sementara selama 90 hari pada Mei.
Trump turut memberi bayangan mengenai kemungkinan perjanjian perdagangan dengan India.
"Kami sedang usahakan beberapa perjanjian yang baik. Antaranya, mungkin dengan India - perjanjian yang sangat besar iaitu kami akan membuka pasaran India," katanya.
Beliau menyatakan AS telah mengutip AS$88 bilion melalui kutipan tarif, menyifatkannya sebagai "sesuatu yang indah."
Dalam acara sama, Trump mempromosikan pakej reformasi cukai dan perbelanjaan yang diterajui Parti Republikan, dikenali sebagai One Big Beautiful Bill, dan menyifatkannya sebagai "satu daripada rang undang-undang paling penting dalam sejarah negara."
Katanya, rang undang-undang itu akan "mengukuhkan sempadan negara, melonjakkan ekonomi, dan mengembalikan impian Amerika."
Rang undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Perwakilan bulan lalu dengan majoriti tipis, dan Senator Republikan kini sedang merangka pindaan sebelum dihantar semula untuk kelulusan akhir.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt memberitahu pemberita pada Khamis bahawa Trump menjangkakan rang undang-undang itu akan diserahkan kepadanya untuk ditandatangani sebelum 4 Julai.
"Kami menjangkakan rang undang-undang itu akan berada di meja presiden untuk ditandatangani sebelum 4 Julai," katanya.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat-China #perjanjian AS-China #tarif Amerika Syarikat #perjanjian perdagangan