DUNIA
Trump sedia bertemu Presiden China jika perjanjian perdagangan dimuktamadkan

Presiden Trump (kiri) bertemu Presiden Jinping pada permulaan mesyuarat dua hala mereka sempena Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Osaka, Jepun pada 29 Jun 2019. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa berkata beliau bersedia untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping sebelum akhir tahun ini sekiranya kedua-dua negara berjaya mencapai perjanjian perdagangan.
"Beliau (Xi) minta untuk mengadakan pertemuan dan saya mungkin akan bertemu dengannya sebelum hujung tahun ini – jika kita berjaya capai perjanjian. Jika tidak, saya tidak akan mengadakan sebarang pertemuan," katanya dalam wawancara bersama CNBC.
Trump turut mengesahkan rundingan perdagangan dengan China kini berada pada fasa yang hampir kepada kejayaan.
"Kita semakin hampir ke arah mencapai perjanjian. Hubungan kita dengan China juga berjalan dengan baik," katanya lagi.Minggu lalu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memaklumkan, pihaknya melihat terdapat 'asas kukuh' untuk membentuk perjanjian bersama China, susulan pertemuan antara pegawai kedua-dua negara di Stockholm dalam usaha melanjutkan gencatan senjata perang perdagangan selama tiga bulan lagi.
China kini berdepan tarikh akhir pada 12 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian tarif bersama Washington, selepas kedua-dua kuasa ekonomi itu mencapai persetujuan awal pada Mei dan Jun lalu bagi menamatkan ketegangan tarif balas-membalas serta sekatan eksport mineral nadir bumi.
Kegagalan memeterai perjanjian itu dijangka menjejaskan rantaian bekalan global, dengan tarif Amerika berkemungkinan kembali ke paras tiga angka yang secara efektif boleh dianggap sebagai embargo perdagangan dua hala.
Dalam temu bual sama, Trump turut mendedahkan, pentadbirannya bakal mengenakan tarif baharu ke atas beberapa barangan import dari China termasuk farmaseutikal, semikonduktor dan cip elektronik – satu langkah yang dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negara Asia itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami