Presiden Donald Trump sekali lagi menghentam wartawan CNN pada Jumaat, kali ini terhadap Abby Phillip, menyifatkan pertanyaan yang diajukannya sebagai 'soalan bodoh'.

Presiden Amerika Syarikat itu membuat kenyataan merendah-rendahkan wanita Afro-Amerika tersebut ketika bercakap kepada pemberita sebelum berlepas ke Paris, Perancis.

Phillip bertanya kepada Trump sama ada beliau mahu Pemangku Peguam Negara yang baharu, Matt Whitaker, 'mengawal' Peguam Khas Robert Mueller.

Trump bertindak balas dengan berkata, "Bodohnya soalan itu. Bodohnya soalan. Tetapi, saya selalu perhatikan anda. Anda memang suka tanya soalan bodoh."


Sebelum insiden itu, Trump menggelar seorang lagi wartawan CNN, Jim Acosta, sebagai tidak profesional dan tidak bijak, dan wartawan Urban Radio Networks, April Ryan, sebagai 'sangat teruk' dan 'gagal'.

Pada awal minggu ini, White House telah merampas perakuan media Acosta sementara Trump turut berkata, mungkin lebih ramai wartawan akan menerima nasib sama.