WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meminta Kimberly Guilfoyle meletak jawatan sebagai Duta AS ke Greece susulan dakwaan rasuah dan salah laku yang dikaitkan dengannya.
Setiausaha Akhbar White House, Katie Zacharia mengumumkan perkara itu dalam sesi taklimat media pertamanya yang berlangsung singkat, dengan memaklumkan Guilfoyle “telah diminta meletak jawatan” tanpa memberikan butiran lanjut.
“Beliau telah menjadi aset yang sangat baik kepada pasukan dan kami mendoakan yang terbaik untuknya,” kata Zacharia.
Guilfoyle, bekas pengacara Fox News, berdepan penelitian semakin meningkat susulan laporan mendakwa beliau meminta seorang penyumbang dana Trump membayar bil kad kreditnya yang tinggi, sebagai pertukaran untuk akses kepada pentadbiran Presiden AS itu.
Beliau turut berdepan dakwaan berkelakuan tidak wajar ketika berada di Athens.
Trump berkata, Guilfoyle telah menjalankan tugas dengan baik, namun tidak akan lagi kekal di Greece.
“Saya tidak menyukai apa yang saya baca,” katanya.
Guilfoyle, 57, bagaimanapun berikrar mempertahankan dirinya daripada dakwaan yang disifatkannya sebagai “palsu”, selain menyifatkan pelantikannya sebagai duta sebagai “penghormatan sepanjang hayat.”
Beliau yang juga bekas isteri Gabenor California, Gavin Newsom pertama kali dicalonkan sebagai Duta AS ke Athens pada Disember 2024, sebulan sebelum Trump kembali ke White House sebagai Presiden.
Dalam hantaran panjang di X, Guilfoyle mengucapkan terima kasih kepada Trump dan menegaskan akan terus menjadi penyokong setianya serta menafikan sebarang salah laku.
“Saya berhasrat mempertahankan nama, reputasi dan integriti saya dengan bersungguh-sungguh,” tulisnya.
Beliau turut menegaskan tidak akan membenarkan “tuduhan palsu” mencemarkan khidmat awamnya selama beberapa dekad.
Kedudukan Guilfoyle semakin tertekan selepas pelbagai dakwaan mengenai salah laku dikemukakan sepanjang minggu lalu.
Siri mesej teks pertama kali dilaporkan The Wall Street Journal didakwa menunjukkan Guilfoyle meminta wang daripada Eric Deters, sekutu lama Trump.
“Ia tidak akan muncul di mana-mana jika anda pindahkan wang kepada American Express,” menurut satu mesej menerusi aplikasi Signal yang didakwa dihantar Guilfoyle.
Dalam satu lagi mesej bertarikh hanya beberapa hari sebelum sesi pengesahan pelantikannya di Senat AS pada Julai lalu, Guilfoyle didakwa menulis: “Tolonglah, saya perlukan anda selesaikan perkara ini untuk saya hari ini.”
Peguam Guilfoyle bagaimanapun mempertikaikan kesahihan mesej berkenaan dan mendakwa beliau sebenarnya meminta bayaran yang masih terhutang bagi ceramah serta kerja perundingan yang dilakukan untuk Deters sebelum dilantik sebagai duta.
Rakaman audio yang diperoleh The Wall Street Journal pula dilaporkan mengandungi perbualan Guilfoyle mengenai hubungannya dengan beberapa taikun perniagaan terkemuka Greece yang didakwa membiayai perjalanan mewah serta penerbangan jet peribadinya.
Menurut akhbar itu, Guilfoyle turut didakwa memberitahu seorang pegawai di Athens bahawa AS mampu menggulingkan kerajaan Greece.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang dirakam bersama Guilfoyle ketika lawatan ke Athens minggu lalu, juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan dakwaan berkenaan.
Susulan berita Guilfoyle diminta meninggalkan jawatan itu, Deters memberitahu BBC ia adalah “hari yang baik untuk diplomasi Amerika.”
Deters berkata, beliau akhirnya tidak membuat sebarang bayaran kepada Guilfoyle.
Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa dirinya berhutang bayaran ceramah dan khidmat perundingan kepada Guilfoyle sebagai “pembohongan sepenuhnya” selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Guilfoyle merupakan sekutu politik Trump sejak sekian lama dan pernah menjalin hubungan dengan anak Presiden itu, Donald Trump Jr.
Pasangan berkenaan bertunang pada 2018 sebelum hubungan mereka berakhir pada 2024, sekitar tempoh Guilfoyle dilantik ke jawatan di Greece.
Trump pada Selasa mengakui Guilfoyle pernah menjalinkan hubungan dengan anaknya tetapi menegaskan beliau bukan sebahagian daripada keluarganya.
Presiden AS itu turut berkata, beliau tidak bercakap dengan Guilfoyle sebelum keputusan memintanya meletak jawatan dibuat.
“Dia pergi ke Greece dan melakukan tugas dengan baik, tetapi kami tidak menyukai apa yang kami baca,” kata Trump. - Agensi