WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad menyatakan sokongan penuh kepada sekutunya, Benjamin Netanyahu ketika Perdana Menteri Israel itu berusaha mempertahankan kedudukan menjelang pilihan raya Parlimen minggu depan.
Trump menyifatkan Netanyahu sebagai seorang “Perdana Menteri pejuang yang hebat” dan rakan dalam usaha mencapai keamanan, selain memuji peranannya bersama AS dalam melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu.
Konflik yang kini memasuki bulan ketujuh itu telah mengganggu pasaran tenaga global dan mencetuskan kemusnahan di seluruh Asia Barat, termasuk kerosakan infrastruktur kritikal serta menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.
“Bibi Netanyahu kekal kuat, berani dan cemerlang dalam menghadapi tentangan hebat, termasuk yang datang dari dalam Israel sendiri,” tulis Trump menerusi hantaran di Truth Social.
Menurut Trump, Netanyahu bukan sahaja mampu bertahan ketika berdepan tekanan hebat, malah menjadi semakin kuat dalam menghadapinya.
Dalam mesej yang ditujukan kepada “rakyat Israel”, Trump turut menyatakan sokongan penuh terhadap Netanyahu bagi mempertahankan jawatannya sebagai Perdana Menteri Israel.
Bagaimanapun, sokongan Trump itu belum tentu memberi lonjakan kepada Netanyahu dan parti berhaluan kanannya, Likud, dalam pilihan raya nasional pada 27 Oktober.
Ini berikutan sokongan masyarakat Israel terhadap Trump dilaporkan semakin berkurangan di tengah-tengah perbezaan pendirian antara Israel dan AS berhubung Iran.
Tinjauan pendapat turut menunjukkan tiada calon ketika ini mempunyai laluan yang jelas untuk menguasai kerajaan.
Di Israel, perdana menteri tidak dipilih secara langsung menerusi undi popular, sebaliknya ditentukan melalui pembentukan gabungan dalam Parlimen.
Pilihan raya itu merupakan yang pertama diadakan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang menggemparkan Israel dan mencetuskan pergolakan lebih luas di Asia Barat, ketika Israel kemudiannya berperang di Gaza, Lubnan dan Iran.
Keputusan pilihan raya kali ini boleh menentukan sama ada Netanyahu terus berkuasa selepas melalui antara tempoh paling getir dalam sejarah Israel, atau tewas kepada pencabar berhaluan tengah yang menjanjikan perubahan kepimpinan.
Netanyahu kemudian mengucapkan terima kasih kepada Trump menerusi platform X dengan berkata: “Bersama-sama kita akan menyelesaikan misi ini!”
Sokongan terbuka Trump itu juga menyimpang daripada tradisi lama AS apabila beliau secara terbuka menyokong calon dalam pilihan raya di beberapa negara asing, termasuk Hungary, Colombia, Argentina, Jepun dan Honduras. - Agensi