DUNIA

Trump tandatangan 'One Big Beautiful Bill' jadi undang-undang

Bernama 05/07/2025 | 05:37 MYT
Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson (kiri), memerhati Presiden Trump mempersembahkan RUU perbelanjaan dan cukai "One Big Beautiful Bill Act" selepas beliau menandatanganinya di White House. -Reuters
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani rang undang-undang dasar utama beliau, "One Big Beautiful Bill" menjadi undang-undang pada petang Jumaat, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Presiden AS Donald Trump menandatangani rang undang-undang "One Big Beautiful Bill" pada 4 Julai 2025, yang merangkumi pemotongan cukai serta peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan keselamatan sempadan.
  • Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti tipis 218-214 di Dewan Perwakilan, dengan semua ahli Demokrat dan dua ahli Republikan menentangnya.
  • Undang-undang tersebut dijangka menambah hutang negara sebanyak US$3.3 trilion dan mengurangkan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan serta program makanan untuk golongan miskin.


Majlis menandatangani undang-undang di Rumah Putih itu diadakan sehari selepas rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan majoriti tipis oleh Dewan Perwakilan pada Khamis. Trump sebelum ini menetapkan tarikh akhir supaya rang undang-undang itu diluluskan sebelum 4 Julai bagi membolehkan majlis penandatanganan diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan.

Undang-undang itu merangkumi dasar utama Trump termasuk pemotongan cukai dan penambahan peruntukan untuk perbelanjaan ketenteraan dan keselamatan sempadan.

Ahli-ahli Dewan Perwakilan daripada kedua-dua parti berbeza pendapat mengenai rang undang-undang itu, yang merangkumi pemotongan besar dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan program makanan untuk golongan miskin serta peningkatan perbelanjaan untuk ketenteraan dan keselamatan sempadan, selain pemotongan cukai ke atas pelbagai kategori pendapatan. Rang undang-undang itu dijangka akan menambah hutang negara sebanyak US$3.3 trilion.

Rang undang-undang itu diluluskan di Dewan dengan majoriti tipis 218 berbanding 214, dengan semua anggota Parti Demokrat dan dua anggota Parti Republikan, Thomas Massie dari Kentucky dan Brian Fitzpatrick dari Pennsylvania, mengundi menentangnya.

-- BERNAMA



#Donald Trump #Rang Undang-Undang #One Big Beautiful Bill #pemotongan cukai