Skip to main content

Dunia

Trump tandatangani perintah longgarkan perlindungan spesies terancam untuk serigala di AS

Mexican Wolf
Data Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS menunjukkan terdapat 319 ekor serigala Mexico hidup di habitat liar pada 2025. - Foto X/@Biodiversity_Mx
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan semakan semula status perlindungan spesies terancam bagi serigala kelabu (grey wolf) dan serigala Mexico (Mexican wolf), langkah yang berpotensi membuka laluan kepada pengurangan perlindungan persekutuan terhadap haiwan pemangsa itu.

Menurut perintah tersebut, Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum, diberi tempoh 90 hari untuk menentukan sama ada populasi kedua-dua spesies itu telah pulih secukupnya untuk dikeluarkan daripada senarai spesies terancam di bawah Akta Spesies Terancam.

Trump berkata langkah itu bertujuan membantu penternak melindungi ternakan mereka daripada serangan serigala, sambil menyifatkan industri penternakan sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan makanan dan warisan budaya AS.

Bagaimanapun, perintah itu tidak serta-merta membenarkan penternak menembak serigala yang mengancam ternakan mereka, sebaliknya memulakan proses penilaian semula perlindungan yang sedang berkuat kuasa.

Data Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS menunjukkan terdapat 319 ekor serigala Mexico hidup di habitat liar pada 2025, meningkat daripada hanya empat ekor ketika program pengenalan semula spesies itu dimulakan pada 1998. Sementara itu, populasi serigala kelabu di seluruh AS dianggarkan sekitar 18,000 ekor.

Langkah Trump mengundang kritikan daripada kumpulan pemuliharaan hidupan liar yang berpendapat pengurangan perlindungan persekutuan boleh menjejaskan usaha pemulihan populasi serigala yang dilakukan selama beberapa dekad.

Timbalan Pengarah Western Watersheds Project, Greta Anderson, berkata ancaman serigala terhadap industri ternakan adalah terhad dan tidak memberi kesan besar kepada pendapatan penternak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Grand Canyon Wolf Recovery Project, Claire Musser, menegaskan peningkatan bilangan serigala Mexico tidak bermakna spesies itu telah pulih sepenuhnya dan amaran bahawa pengurangan perlindungan sekarang boleh menjejaskan hasil pemuliharaan yang dicapai setakat ini.

Penternak pula telah lama menggesa kerajaan melonggarkan sekatan terhadap tindakan menangani serigala yang menyerang ternakan mereka.

Namun, kumpulan alam sekitar menegaskan serigala memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem dan sebarang keputusan berkaitan spesies itu perlu berasaskan bukti saintifik.

Cubaan mengeluarkan serigala kelabu daripada senarai spesies terancam pernah dilakukan semasa pentadbiran Trump sebelum ini, namun dibatalkan oleh mahkamah persekutuan pada 2022 selepas dicabar oleh kumpulan pemuliharaan.

Beberapa pertubuhan juga memberi bayangan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan meneruskan langkah terbaharu itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement