GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Trump tetapkan tarikh akhir Ahad untuk Hamas terima cadangan gencatan senjata

Bernama 03/10/2025 | 19:50 MYT
Presiden Trump menetapkan Ahad sebagai tarikh akhir bagi Hamas menerima cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menetapkan Ahad sebagai tarikh akhir bagi Hamas menerima cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan, lapor Anadolu Ajansi.

Trump dalam hantaran di platform media sosialnya, Truth Social pada Jumaat berkata, Hamas mesti menerima perjanjian itu selewat-lewatnya 6 petang waktu Timur (2200GMT) Ahad ini.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun.

Sekatan itu diperketatkan lagi pada Mac lalu apabila rejim Israel menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan wilayah berkenaan berdepan kebuluran.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel meragut hampir 66,300 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini berada pada tahap hampir tidak lagi sesuai didiami, dengan kebuluran serta penyakit merebak pantas di tengah-tengah perpindahan penduduk secara besar-besaran.

-- BERNAMA



#Donald Trump #gencatan senjata #pertukaran tahanan #Hamas