INTERNATIONAL

Trump tiba di Riyadh

Luqman Hariz 13/05/2025 | 07:35 MYT
Donald Trump disambut oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed Bin Salman di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, 13 Mei 2025. - Gambar tangkap layar/ Reuters
RIYADH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di Arab Saudi bagi memulakan lawatan kerja rasmi empat hari di Asia Barat.

Ringkasan AI
  • Presiden AS, Donald Trump, tiba di Arab Saudi untuk memulakan lawatan kerja rasmi empat hari di Asia Barat, termasuk pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan ucapan di Forum Pelaburan AS-Arab Saudi.
  • Lawatan ini akan membincangkan konflik Gaza, kerjasama ekonomi, dan keselamatan serantau. Beberapa perjanjian dijangka diumumkan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembuatan, dan tenaga.
  • Arab Saudi komited melabur AS$600 bilion ke AS dalam empat tahun akan datang dan telah membeli senjata bernilai AS$3.5 bilion. UAE juga mengumumkan pembelian senjata buatan AS bernilai AS$1.4 bilion.

Pesawat Air Force One yang membawa Trump mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh jam 9.50 pagi waktu tempatan.
Ia merupakan lawatan luar rasmi pertamanya selaku Presiden, dan kali kedua Trump memilih Arab Saudi sebagai destinasi pertama untuk dikunjungi selepas 2017.
Trump dijadual bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan memberi ucapan di Forum Pelaburan AS-Arab Saudi pada Selasa.
Beliau kemudian akan berlepas ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Antara lain, konflik Gaza, kerjasama ekonomi serta keselamatan serantau dijangka melatari agenda perbincangan sepanjang lawatan tersebut.
Beberapa perjanjian juga dijangka diumumkan, merangkumi kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), pembuatan dan tenaga.
Arab Saudi sebelum ini memberi komitmen untuk melabur AS$600 bilion ke AS dalam tempoh empat tahun akan datang, selepas membeli senjata bernilai AS$3.5 bilion daripada negara itu.
UAE turut mengumumkan pembelian senjata buatan AS bernilai AS$1.4 bilion menjelang ketibaan Trump.
Lawatan Trump dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju dasar luar Washington di Asia Barat, di sebalik percaturan geopolitik global yang semakin tidak menentu.
Ia turut dijangka menjadi penentu penting yang bakal mencorak dinamik kuasa Arab Saudi di Asia Barat, di sebalik ketegangannya dengan Yaman dan Iran.
#Donald Trump #Arab Saudi #Asia Barat #Riyadh