DUNIA

Trump tiba di UK untuk lawatan negara kali kedua, bakal tandatangani perjanjian teknologi bersejarah

Agensi 17/09/2025 | 00:10 MYT
Presiden Donald Trump (tengah) dan isteri, Melania Trump (kiri) mendarat di Lapangan Terbang London Stansted pada Selasa malam dengan menaiki pesawat Air Force One.
LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di United Kingdom (UK) bagi lawatan negara keduanya, yang disifatkan sebagai satu “penghormatan besar” selepas menerima jemputan daripada Raja Charles III di Istana Windsor.

Trump mendarat di Lapangan Terbang London Stansted pada Selasa malam dengan menaiki pesawat Air Force One dan disambut oleh Setiausaha Luar UK yang baharu, Yvette Cooper.

Beliau yang ditemani isteri, Melania Trump, dijadualkan bermalam di Winfield House, kediaman rasmi Duta AS di Regent’s Park, sebelum menghadiri majlis sambutan rasmi serta jamuan negara di Istana Windsor pada Rabu.

Walaupun tiada acara melibatkan orang awam, ribuan penunjuk perasaan dijangka turun ke jalan sepanjang lawatan tersebut.

Bercakap kepada media sebelum mendarat, Trump berkata: “Hubungan saya dengan UK sangat baik, begitu juga dengan Charles yang kini Raja. Beliau adalah sahabat saya. Ini kali pertama seseorang diberi penghormatan sebanyak dua kali, jadi ia satu penghormatan besar.”

Lawatan itu berlangsung ketika Washington dan London bersiap menandatangani perjanjian teknologi bersejarah bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor teknologi bernilai trilion dolar kedua-dua negara.

Trump dijangka ditemani delegasi eksekutif teknologi terkemuka AS termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang serta Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, menurut laporan Reuters.

Dalam pada itu, Sky News melaporkan, syarikat pelaburan BlackRock merancang untuk melabur AS$700 juta dalam pusat data di UK, sebagai sebahagian daripada pengumuman bersempena lawatan negara itu.

Untuk rekod, UK merupakan negara pertama menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan pentadbiran Trump pada Mei lalu.

Melalui perjanjian itu, Washington bersetuju menghapuskan tarif aluminium dan keluli daripada 25 peratus kepada sifar, namun pelaksanaan perubahan itu masih belum bermula.

Trump turut memberi bayangan kemungkinan pelepasan tarif keluli UK menjelang pertemuan dengan Perdana Menteri, Keir Starmer, di kediaman rasmi Perdana Menteri, Chequers, pada Khamis.

“Saya juga ke sana atas urusan perdagangan. Mereka mahu melihat sama ada perjanjian itu boleh diperhalusi lagi. Kita sudah ada perjanjian yang baik dan saya mahu membantu mereka,” katanya. - Agensi


#Donald Trump #Trump lawat UK #lawatan negara Trump #Raja Charles III #Istana Windsor