DUNIA

Trump tuduh Demokrat kaitkan fail Epstein, desak nama didedah

Agensi 27/12/2025 | 00:00 MYT
Trump turut menyatakan Demokrat akan mempunyai “banyak perkara untuk dijelaskan” apabila lebih banyak dokumen didedahkan kepada umum di bawah undang-undang baharu yang diluluskan oleh Kongres. - Gambar Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menuduh Parti Demokrat menyebarkan apa yang disifatkannya sebagai penipuan berhubung fail baharu yang ditemui berkaitan dengan pesalah seks disabitkan, Jeffrey Epstein.

Trump turut mendakwa, isu itu mengalihkan perhatian Jabatan Keadilan daripada menyiasat dakwaan penipuan pilihan raya.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, kira-kira satu juta muka surat lagi dokumen berkaitan Epstein telah ditemui dan menggesa pihak berkuasa mendedahkan nama individu yang terlibat dalam kes berkenaan.

Beliau turut mendakwa, pihak Demokrat, bukan Republikan, mempunyai kaitan dengan Epstein.

Kenyataan itu dibuat susulan hantaran Trump pada Hari Krismas, di mana beliau mengucapkan “Selamat Hari Krismas” kepada individu yang didakwa “menyukai Jeffrey Epstein.”

Trump turut menyatakan Demokrat akan mempunyai “banyak perkara untuk dijelaskan” apabila lebih banyak dokumen didedahkan kepada umum di bawah undang-undang baharu yang diluluskan oleh Kongres.

Untuk rekod, Epstein merupakan seorang jutawan Amerika yang didakwa dan disabitkan atas kesalahan berkaitan eksploitasi seks melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Beliau meninggal dunia dalam tahanan penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan, dalam kes yang mencetuskan perhatian global.

Sejak itu, pelbagai dokumen dan fail berkaitan siasatan Epstein didedahkan secara berperingkat, termasuk senarai kenalan dan dokumen mahkamah, yang mencetuskan spekulasi mengenai penglibatan tokoh-tokoh berpengaruh.

Pendedahan terbaharu dokumen itu terus menjadi isu politik di Amerika Syarikat, dengan kedua-dua parti saling menuduh antara satu sama lain menggunakan kes Epstein untuk kepentingan politik masing-masing.



#Amerika Syarikat #Donald Trump #Jeffrey Epstein