DUNIA
Trump ugut kenakan tarif setinggi 25 peratus ke atas import India jika rundingan gagal

Menurut Jabatan Perdagangan AS, negara itu mengimport barangan bernilai AS$87 bilion dari India tahun lalu termasuk produk farmaseutikal, peralatan komunikasi dan pakaian. - Gambar hiasan/lnjbhilwara.com
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran akan mengenakan tarif setinggi 25 peratus terhadap barangan import dari India sekiranya kedua-dua negara gagal mencapai perjanjian perdagangan yang telah lama dirundingkan.
“Mereka akan dikenakan 25 peratus,” kata Trump kepada media.
Ditanya sama ada India akan dikenakan tarif antara 20 hingga 25 peratus, Trump mengesahkan perkara itu sambil menyifatkan India sebagai “rakan baiknya”.
Sementara itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer memaklumkan kepada CNBC, perjanjian perdagangan antara AS dan India masih memerlukan perbincangan lanjut.“India menyatakan minat kuat untuk membuka sebahagian pasaran mereka, dan kami bersedia untuk terus berbincang. Tetapi masih perlu rundingan lebih mendalam bersama rakan-rakan kami di India bagi menentukan tahap komitmen sebenar mereka,” katanya.
Dalam rundingan perdagangan terdahulu, Trump secara konsisten menekan negara rakan dagang supaya membuka pasaran yang sebelum ini tertutup kepada produk Amerika Syarikat.
Namun begitu, tiada isu utama didedahkan secara terbuka dalam rundingan dengan India dan Menteri Perdagangan India minggu lalu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian boleh dimuktamadkan sebelum tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan Trump.
Walaupun belum mengeluarkan surat rasmi ancaman tarif terhadap India seperti yang dilakukan terhadap beberapa negara lain, Trump pernah menetapkan tarif ke atas barangan India sebanyak 26 peratus pada 2 April lalu sebelum menangguhkannya sebagai langkah “timbal balik.”
Trump menyifatkan hubungan perdagangan AS-India sebagai “sangat sukar”, sambil mengkritik India berikutan defisit perdagangan AS yang semakin meningkat dengan negara itu – yang kini berganda berbanding sedekad lalu.
“Mereka kenakan tarif lebih tinggi daripada mana-mana negara lain,” kata Trump pada 13 Februari lalu, beberapa jam sebelum bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Saya beritahu Modi, kamu tidak melayan kami dengan adil.”
White House turut menyasarkan beberapa halangan bukan tarif oleh India termasuk cukai terhadap perkhidmatan digital, selain mengkritik dasar import India yang dianggap “terlalu menyulitkan” termasuk keperluan ujian produk yang membebankan.
Menurut Jabatan Perdagangan AS, negara itu mengimport barangan bernilai AS$87 bilion dari India tahun lalu, manakala eksport ke India berjumlah AS$42 bilion.
Antara barangan utama dari India ialah produk farmaseutikal, peralatan komunikasi seperti telefon pintar dan pakaian.
Trump sebelum ini beberapa kali menyatakan bahawa perjanjian hampir dimuktamadkan.
Pada 15 Mei lalu, beliau mendakwa India telah bersetuju untuk mengenakan tarif sifar terhadap eksport AS – namun India segera menafikan kenyataan tersebut.
“India adalah antara negara dengan tarif tertinggi di dunia. Sangat sukar untuk menjual barangan ke sana. Tapi mereka tawarkan perjanjian yang pada dasarnya tiada tarif langsung dikenakan,” kata Trump dalam satu sesi meja bulat bersama pemimpin perniagaan di Doha, Qatar.
Bagaimanapun, Menteri Luar India, S. Jaishankar menyifatkan kenyataan itu sebagai “terlalu awal” dan menjelaskan, tiada keputusan muktamad telah dicapai, sambil menyifatkan rundingan dengan AS sebagai “rumit dan kompleks.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami