DUNIA
Trump 'ugut' kenakan tarif tambahan 50 peratus ke atas China
Presiden Donald Trump pada Isnin menjelaskan tarif tambahan 50 peratus akan dikenakan ke atas China. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat akan mengenakan tarif tambahan ke atas China bermula Selasa jika Beijing tidak menarik balik tarif timbal balik sebanyak 34 peratus terhadap negara itu.
Ringkasan AI
- Presiden Donald Trump umum tarif tambahan 50% akan dikenakan ke atas China jika Beijing tidak tarik balik tarif 34% terhadap AS.
- Rundingan antara AS dan China akan dihentikan jika tarif China berkuat kuasa seperti dirancang pada 10 April.
- China dakwa tindakan AS langgar peraturan perdagangan antarabangsa dan anggapnya sebagai tindakan buli unilateral.
Perkara itu dinyatakan Presiden Donald Trump pada Isnin dan menjelaskan tarif tambahan 50 peratus akan dikenakan ke atas China.
"Selain itu, semua perbincangan dengan China mengenai permintaan mesyuarat mereka dengan kami akan dihentikan.
"Rundingan dengan negara-negara lain, yang juga telah meminta mesyuarat, akan dimulakan serta-merta," katanya menerusi media sosial.
Pada Jumaat China akan mengenakan tarif tambahan 34 peratus ke atas semua produk yang diimport dari Amerika Syarikat bermula 10 April, menurut Suruhanjaya Tarif Kastam Majlis Negara.
Pengumuman itu susulan keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan 'tarif timbal balik' ke atas eksport China ke negara itu, satu langkah yang menurut suruhanjaya itu tidak mematuhi peraturan perdagangan antarabangsa, menjejaskan hak dan kepentingan sah China secara serius dan mewakili tindakan buli unilateral yang tipikal.