WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam akan menyasarkan infrastruktur awam Iran setiap kali tentera negara itu melancarkan serangan terhadap mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz.
Amaran yang dikeluarkan pada Rabu itu dilihat sebagai satu peningkatan ketara dalam konflik yang semakin merebak di rantau berkenaan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, AS akan memusnahkan sebuah jambatan atau loji janakuasa Iran setiap kali Republik Islam itu melepaskan peluru berpandu, roket, dron atau sebarang senjata lain ke arah kapal di laluan strategik tersebut.
“Mulai saat ini, setiap kali Republik Islam Iran menembak mana-mana kapal di Selat Hormuz, sama ada menggunakan peluru berpandu, roket, dron atau apa jua senjata, Amerika Syarikat akan mengebom dan memusnahkan SATU jambatan atau loji janakuasa, termasuk yang terletak berhampiran atau di dalam ibu negara Tehran,” kata Trump.
Trump sebelum ini pernah mengugut untuk mengebom jambatan dan stesen janakuasa Iran, malah mengancam untuk memusnahkan tamadun negara itu.
Namun, kenyataan terbaharunya dilihat lebih spesifik berbanding ancaman yang pernah dibuat sebelum ini.
Sebagai tindak balas, Ketua Pasukan Aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mejar Jeneral Majid Mousavi memberi amaran bahawa Tehran akan bertindak balas terhadap mana-mana negara yang menjadi tuan rumah kepada tentera AS sekiranya kemudahan tenaga Iran diserang.
“Jika jambatan dan loji janakuasa kami diserang, gangguan bekalan elektrik akan menimpa sekutu dan negara yang melindungi pembunuh kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
AS dan Iran telah saling melancarkan serangan selama 12 hari kebelakangan ini selepas memorandum persefahaman (MoU) yang sepatutnya menamatkan konflik gagal dilaksanakan susulan pertikaian mengenai status Selat Hormuz.
Iran menegaskan, ia mempunyai kedaulatan terhadap laluan perairan strategik itu dan mendakwa MoU berkenaan memberi kuasa kepada Tehran untuk menguruskan selat tersebut.
Namun, pentadbiran Trump menegaskan, Selat Hormuz perlu kembali kepada status asalnya sebagai laluan antarabangsa yang bebas dan terbuka kepada semua pihak.
Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, keadaan di selat berkenaan tidak akan kembali seperti sebelum perang.
“Dalam rantau yang tidak membenarkan kami menjual minyak, tiada siapa akan
"dapat menjual minyak. Jika keselamatan kami tidak dijamin, tiada infrastruktur yang akan selamat. Keselamatan Selat Hormuz hanya boleh dicapai tanpa kehadiran tentera Amerika,” katanya menerusi platform X.
Ketegangan kembali memuncak selepas beberapa kapal yang melalui laluan di sebelah Oman di Selat Hormuz tanpa koordinasi dengan Iran menjadi sasaran serangan.
Tentera AS dilaporkan terus menyerang sasaran ketenteraan Iran selain beberapa pelabuhan dan jambatan awam, mengakibatkan puluhan
kematian.Tehran pula membalas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan roket ke atas pangkalan tentera yang menempatkan anggota AS di seluruh rantau Asia Barat.
Serangan Iran bulan ini dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya empat anggota tentera AS di Jordan dan Iraq serta mencederakan beberapa yang lain.
Pentagon pada Selasa mengesahkan kematian Angel Rampersad, 28, yang menjadi korban ketiga dalam satu serangan peluru berpandu Iran di Jordan selepas sebelum ini dilaporkan hilang sejurus insiden itu.
Trump menghadiri upacara penerimaan mayat anggota tentera terbabit di Pangkalan Tentera Udara Dover, Delaware pada Rabu.
Beliau menegaskan, Iran akan “membayar harga yang mahal” atas kematian anggota tentera AS.
“Mereka sedang dihancurkan,” katanya ketika berlepas ke pangkalan udara itu.
Konflik yang kembali memuncak turut menyebabkan harga minyak dunia melonjak semula selepas menurun seketika ketika gencatan senjata.
Harga purata petrol di AS kini melepasi AS$4 segelen (3.4 liter), berbanding sekitar AS$3.80 ketika tempoh gencatan senjata selepas sebelum itu mencapai paras AS$4.50. - Agensi