WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk menghalang syarikat pengeluar pesawat Kanada, Bombardier daripada menjual produknya di pasaran AS melainkan syarikat itu memindahkan operasi pembuatannya ke negara berkenaan.
Dalam hantaran di platform Truth Social pada Isnin, Trump menegaskan, Bombardier tidak lagi boleh bergantung kepada pasaran AS jika terus menghasilkan pesawat di luar negara.
“TIADA LAGI JUALAN BOMBARDIER DI AMERIKA SYARIKAT! Jika mereka mahukan pasaran kami, mereka mesti membina di sini dan berhenti menganggap Amerika sebagai ‘tabung simpanan’,” katanya.
Tindakan terbaharu itu hadir ketika ketegangan perdagangan antara AS dan Kanada terus memuncak, hanya beberapa jam sebelum Kanada dijadual melaksanakan tarif balas ke atas barangan AS bernilai AS$20 bilion.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana Trump berhasrat untuk menghalang Bombardier daripada menjalankan perniagaan di AS.
Bombardier yang berpangkalan di Montreal ketika ini sudah mempunyai kilang di Kansas yang menghasilkan pesawat tentera untuk misi khas serta menggaji kira-kira 3,500 pekerja di AS.
Malah, hampir separuh daripada armada pesawat Bombardier, iaitu sekitar 5,100 pesawat, dikendalikan oleh pelanggan yang berpangkalan di AS.
Menurut laman sesawang syarikat itu, jet Bombardier dihasilkan di kemudahan yang terletak di Kanada, AS dan Mexico.
Produk syarikat itu juga mematuhi perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara yang ditandatangani Trump ketika penggal pertamanya sebagai Presiden, dikenali sebagai CUSMA di Kanada dan USMCA di AS.
Bombardier merupakan antara syarikat terbesar Kanada dengan sumbangan sekitar C$7.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu pada 2024, menurut laporan yang ditugaskan syarikat berkenaan.
Syarikat itu juga disenaraikan sebagai antara majikan terbesar dalam sektor pembuatan di wilayah Quebec.
Ketua Menteri Quebec, Christine Fréchette menyifatkan Bombardier sebagai kebanggaan wilayah itu serta tonggak penting ekonomi tempatan.
Menerusi hantaran di platform X, beliau memaklumkan telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Bombardier, Éric Martel, dan menawarkan sokongan penuh kerajaan wilayah kepada syarikat berkenaan.
Mengulas ancaman Trump, Fréchette berkata, beliau tidak akan membalas provokasi dengan provokasi.
“Quebec tidak akan membenarkan sesiapa menentukan di mana syarikat kami perlu mengeluarkan produk mereka semata-mata untuk mendapatkan akses ke sesebuah pasaran,” katanya.
Rundingan perdagangan antara Kanada dan AS dilaporkan gagal mencapai kata sepakat pada penghujung bulan lalu selepas Kanada menarik diri daripada meja rundingan.
Susulan itu, AS mengenakan tarif baharu sebanyak 50 peratus ke atas pelbagai produk dari Kanada.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menuduh pentadbiran Trump mengemukakan syarat saat akhir yang tidak adil dan tidak munasabah dari segi ekonomi.
Pada masa sama, pegawai AS mendakwa, Carney enggan menandatangani perjanjian berkenaan atas faktor politik berikutan ketidakpopularan Trump di Kanada, dakwaan yang dinafikan beliau.