DUNIA

Trump ugut usir Musk ekoran perselisihan berterusan

Bernama 02/07/2025 | 11:48 MYT
Trump (kanan) mendakwa Musk (kiri) marah kerana rang undang-undang itu memansuhkan kredit cukai untuk kenderaan elektrik, dan memberi bayangan bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) mungkin menyiasat syarikat milik Musk. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, pada Selasa berkata Rumah Putih perlu meneliti kemungkinan untuk mengusir Elon Musk, selepas usahawan bilionair itu mengkritik rang undang-undang cukai dan perbelanjaan presiden, lapor Xinhua.

Ringkasan AI
  • Presiden AS Donald Trump mencetuskan kontroversi dengan menyatakan bahawa kerajaan perlu "meneliti kemungkinan" mengusir Elon Musk selepas usahawan itu mengkritik rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang diluluskan Senat.
  • Trump mendakwa Musk marah kerana rang undang-undang itu memansuhkan kredit cukai untuk kenderaan elektrik, dan memberi bayangan bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) mungkin menyiasat syarikat milik Musk.
  • Walaupun Trump menyindir bahawa Musk mungkin perlu -kembali ke Afrika Selatan-, Musk adalah warganegara AS sejak 2002, menjadikan kemungkinan pengusiran secara sah hampir mustahil.

Musk, yang berasal dari Afrika Selatan dan kini adalah warganegara AS, memuat naik beberapa hantaran kritikan hujung minggu lalu di media sosial terhadap "big, beautiful bill" Trump.
Tokoh teknologi itu mengecam rang undang-undang itu kerana didakwanya menyumbang kepada peningkatan hutang negara AS.
Trump membalas pada Selasa dengan memuat naik kenyataan di media sosial dengan mengatakan bahawa Musk, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kenderaan elektrik Tesla itu marah kerana rang undang-undang itu memansuhkan kredit cukai untuk kenderaan elektrik.
Ini merupakan perkembangan terbaharu dalam pertikaman lidah antara dua tokoh bilionair yang terus saling berbalas kenyataan pedas.
Rang undang-undang menyeluruh Trump, yang diluluskan Senat pada Selasa, merangkumi peningkatan perbelanjaan dalam pertahanan, pengeluaran tenaga dan keselamatan sempadan.
Trump juga memberi bayangan bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), sebuah organisasi yang dibantu penubuhannya oleh Musk untuk mengurangkan kos kerajaan, boleh digunakan untuk menyiasat syarikat milik Musk.
"Elon mungkin menerima lebih banyak subsidi berbanding mana-mana individu lain dalam sejarah, dengan margin yang besar," kata Trump di media sosial.
"Mungkin DOGE patut teliti perkara ini secara serius?"
Trump turut mengugut untuk menamatkan subsidi kerajaan yang memberi manfaat kepada syarikat milik Musk.
Musk pula berikrar akan menghukum ahli parlimen Republikan yang menyokong rang undang-undang Trump itu.
"Kita belum pasti sama ada Musk akan melaksanakan ancamannya terhadap ahli Republikan.
"Ia mungkin dalam bentuk membiayai pencabar dalam pilihan raya peringkat awal parti, membantu calon bebas di negeri konservatif, atau dalam bentuk lain," kata Christopher Galdieri, profesor sains politik di Kolej Saint Anselm, New Hampshire kepada Xinhua.
Clay Ramsay, penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa dan Keselamatan, Universiti Maryland, memberitahu Xinhua yang hubungan Musk dengan Trump melalui beberapa fasa.
"Dalam fasa pertama, Musk bersedia untuk menyumbang kira-kira US$250 juta kepada kempen Trump, dan Trump menyukai perkara itu," kata Ramsay.
"Dalam fasa kedua, Musk menjadi rakan kongsi Trump dalam menubuhkan DOGE, yang berfungsi seolah-olah sebagai cabang keempat kerajaan, mencari jalan untuk menghentikan perbelanjaan ke atas perkara yang diluluskan oleh Kongres dan diwajibkan oleh undang-undang.
"Dalam fasa ketiga, kebencian rakyat terhadap DOGE menyebabkan kejatuhan jualan kereta Tesla, sesuatu yang tidak dijangka oleh Musk," tambahnya.
"Dalam fasa keempat, Musk menjauhkan diri daripada pelaksanaan langsung tugas DOGE dan sebagai ahli perniagaan beliau menyedari semua syarikatnya berisiko kehilangan sokongan penting dalam bentuk subsidi tenaga bersih.
"Ini, ditambah pula dengan penolakannya terhadap hutang kerajaan, menjelaskan mengapa beliau menentang BBB (big beautiful bill)," kata Ramsay.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Elon Musk #rang undang-undang cukai dan perbelanjaan #DOGE