DUNIA

Trump ulangi desakan agar Pengerusi Fed Jerome Powell letak jawatan segera

Astro Awani 03/07/2025 | 00:40 MYT
Powell, yang dilantik oleh Trump pada 2017, dijangka menamatkan penggalnya pada Mei 2026. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi menggesa Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, agar meletakkan jawatan serta-merta, susulan dakwaan bahawa beliau telah memberikan keterangan mengelirukan kepada Kongres dan gagal menangani isu kadar faedah secara berkesan.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump merujuk Powell sebagai “Too Late” dan menyatakan bahawa beliau “harus letak jawatan segera!!!”.

Trump turut memetik laporan Bloomberg yang menampilkan kritikan daripada Pengarah Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan (FHFA), Bill Pulte, yang menuduh Powell berbohong kepada Jawatankuasa Perbankan Senat berhubung pelan pengubahsuaian ibu pejabat Fed bernilai AS$2.5 bilion.

Pulte mendakwa Powell memberikan keterangan yang “mengelirukan” dan menyembunyikan butiran sebenar mengenai kos pembaikan, termasuk lif khas dan kemasan marmar.

Beliau menyifatkan kenyataan Powell sebagai cukup serius untuk dijadikan alasan pemecatan.

Trump juga mengkritik keputusan Fed untuk mengekalkan kadar faedah antara 4.25 hingga 4.50 peratus, sambil menyatakan bahawa AS sepatutnya menurunkan kadar sebanyak 2.5 mata seperti yang dilakukan oleh negara-negara Eropah.

Beliau mendakwa tindakan lambat Fed telah menyebabkan negara kehilangan berbilion dolar dalam kos hutang jangka pendek.

“Too Late adalah satu kehinaan kepada Amerika!” kata Trump, sambil menambah bahawa beliau akan melantik pengganti Powell yang menyokong pemotongan kadar faedah secara agresif menjelang pilihan raya 2026.

Powell, yang dilantik oleh Trump pada 2017, dijangka menamatkan penggalnya pada Mei 2026.

Namun, tekanan politik dan industri terhadap kepimpinannya semakin meningkat, terutamanya dari sektor perumahan yang terjejas akibat kos pinjaman tinggi.






#Donald Trump #Jerome Powell #Pengerusi Fed #letak jawatan