INTERNATIONAL
Trump ulangi hasrat untuk Amerika Syarikat kawal Gaza

Trump bersama Netanyahu di White House. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin mengulangi hasratnya untuk Amerika Syarikat (AS) mengawal Gaza sambil menyifatkan wilayah Palestin itu sebagai "sebidang hartanah yang sangat penting dan luar biasa."
“Mempunyai pasukan keamanan seperti Amerika Syarikat di sana, mengawal dan memiliki Semenanjung Gaza akan menjadi sesuatu yang baik,” kata Trump dalam satu kenyataan di White House bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Trump sekali lagi mencadangkan pemindahan penduduk Gaza dan mendakwa “banyak negara” bersedia menerima 2.1 juta rakyat Palestin yang diusir.
Sekutu serantau telah menolak pemindahan paksa seperti itu, yang boleh dianggap sebagai jenayah perang.Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang Israel terhadap Hamas telah menyebabkan 90 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dan ramai antara mereka terpaksa berpindah berulang kali.
“Jika anda ambil rakyat Palestin dan pindahkan mereka ke negara-negara lain - dan ada banyak negara yang sanggup menerimanya - maka anda benar-benar mempunyai zon kebebasan. Anda panggil ia zon bebas, satu kawasan di mana orang tidak akan dibunuh setiap hari,” kata Trump pada hari Isnin.
“Itu tempat yang gila,” tambah Trump.
“Anda tahu apa saya panggilnya - lokasi hebat yang tiada siapa mahu tinggal di dalamnya.”
Presiden AS itu turut mempersoalkan “mengapa Israel pernah menyerahkan (Gaza).”
“Mereka ambil hartanah di tepi laut dan berikannya kepada orang lain demi keamanan. Bagaimana hasilnya?” kata Trump, yang pernah mencadangkan supaya wilayah itu ditukar menjadi sebuah “Riviera” milik Amerika Syarikat.
Israel telah menawan Gaza dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 dan mendudukinya selama hampir 40 tahun.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami