DUNIA

Trump umum akan bertemu Putin di Budapest selepas panggilan telefon ‘produktif’

Agensi 16/10/2025 | 22:50 MYT
Presiden Trump (kanan) menyambut kedatangan Presiden Putin di Alaska, Amerika Syarikat pada 15 Ogos lalu. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Budapest, Hungary susulan satu panggilan telefon panjang yang disifatkan sebagai “produktif” antara kedua-dua pemimpin itu.

Trump membuat pengumuman tersebut di laman Truth Social pada Khamis, namun, tarikh rasmi pertemuan itu masih belum ditetapkan.

Panggilan telefon itu dibuat sehari sebelum Trump dijadual bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Washington, di mana pemimpin Ukraine itu dijangka mengulangi rayuannya agar AS menjual peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine bagi membolehkan negara itu melancarkan serangan lebih jauh ke dalam wilayah Rusia.

Dalam kenyataannya, Trump berkata, beliau akan memaklumkan kepada Zelenskyy mengenai perbualan dengan Putin dalam mesyuarat di Pejabat Oval pada Jumaat.

“Saya percaya kemajuan besar telah dicapai menerusi perbualan telefon hari ini,” kata Trump sambil menambah bahawa pegawai kanan AS dan Rusia akan bertemu minggu depan untuk membuat persiapan bagi rundingan susulan.

Ini merupakan perbualan pertama diketahui umum antara Trump dan Putin sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu di Alaska pada Ogos lalu.

Perkembangan itu muncul ketika Zelenskyy bersiap sedia untuk bertemu Trump di White House pada Jumaat - dalam usaha berterusan Ukraine mendapatkan lebih banyak sokongan ketenteraan, khususnya bagi mempertahankan diri daripada serangan udara Rusia.

Pada Khamis, tentera Rusia terus membedil beberapa wilayah di Ukraine menggunakan ratusan dron dan puluhan peluru berpandu yang menyasarkan infrastruktur tenaga dan kemudahan penting lain.

Lapan wilayah di Ukraine dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik selepas serangan itu, menurut operator tenaga nasional Ukrenergo.

Syarikat tenaga swasta terbesar negara itu, DTEK, turut melaporkan gangguan bekalan di Kyiv dan terpaksa menghentikan pengeluaran gas asli di wilayah Poltava akibat kerosakan.

Naftogaz, syarikat minyak dan gas milik kerajaan Ukraine, memaklumkan bahawa kemudahan gas asli negara itu telah diserang sebanyak enam kali bulan ini.

Awal minggu ini, serangan Rusia turut mengenai sebuah hospital dan konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Ukraine, mencederakan 57 orang serta memaksa pemindahan 50 pesakit.

Sebagai tindak balas, Ukraine meningkatkan serangan balas terhadap sasaran di Rusia, termasuk mengebom sebuah loji penapisan minyak di wilayah Saratov.

Ukraine mahu peluru berpandu Tomahawk

Zelenskyy berpendapat, keupayaan melancarkan serangan jarak jauh akan memberi tekanan tambahan kepada Putin supaya lebih serius dalam rundingan damai yang diusahakan Trump.

Peluru berpandu jelajah Tomahawk yang mampu menjangkau sehingga 1,600 kilometer dilihat dapat memberi kelebihan besar kepada Ukraine - termasuk berpotensi menyerang Moscow dan bandar utama lain di Rusia.

Namun, Putin sebelum ini memberi amaran bahawa penjualan senjata tersebut kepada Ukraine akan menjadi “tahap baharu eskalasi perang”.

Trump bagaimanapun memberitahu wartawan bahawa beliau sedang mempertimbangkan perkara itu.

“Saya mungkin akan bercakap dengan Putin dan berkata, ‘Jika perang ini tidak dapat diselesaikan, saya akan hantar Tomahawk kepada mereka.’ Saya mungkin akan katakan begitu,” ujar Trump.

“Tomahawk adalah senjata yang luar biasa, sangat ofensif, dan secara jujur, Rusia tidak perlukan itu.”

Trump berkata demikian ketika dalam perjalanan ke Israel hujung minggu lalu, di mana beliau berucap di Parlimen Israel sewaktu gencatan senjata yang diusahakannya di Gaza mula berkuat kuasa.

Dalam ucapannya, beliau memberi isyarat bahawa kejayaan gencatan senjata itu boleh menjadi asas kepada rundingan damai antara Rusia dan Ukraine sambil menegaskan tekadnya untuk menyelesaikan konflik tersebut.

“Pertama, kita perlu selesaikan isu Rusia,” katanya. “Kita mesti selesaikan yang itu dahulu.”

Trump dan Putin sebelum ini bertemu di Alaska pada Ogos untuk membincangkan usaha menamatkan perang Moscow di Ukraine, namun rundingan singkat itu berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Sejak pertemuan itu, Trump mempertingkatkan tekanan terhadap pemimpin dunia agar menghentikan pembelian minyak dari Rusia, dan minggu ini mendakwa Perdana Menteri India, Narendra Modi telah berjanji untuk menghentikan import minyak dari negara itu. - Agensi





#Donald Trump #Vladimir Putin #konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskyy