DUNIA

Trump umum akan hantar surat nyatakan kadar tarif import bermula Jumaat

Astro Awani 03/07/2025 | 23:40 MYT
Penganalisis perdagangan memberi amaran bahawa pendekatan unilateral ini boleh meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan hubungan ekonomi antarabangsa. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan bahawa pentadbirannya akan mula menghantar surat kepada negara-negara asing bermula Jumaat ini, bagi memaklumkan kadar tarif yang akan dikenakan terhadap barangan import ke AS.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan tegas pentadbiran Trump terhadap dasar perdagangan global, selepas rundingan dengan lebih 150 negara gagal diselesaikan menjelang tarikh akhir yang ditetapkan.

“Saya akan hantar surat, itu penamat rundingan perdagangan,” kata Trump kepada media sebelum berlepas ke Iowa.

“Tuan Jepun yang dihormati, inilah ceritanya. Anda akan dikenakan tarif 25 peratus ke atas kereta anda,” tambahnya secara berseloroh.

Trump menjelaskan bahawa surat-surat tersebut akan dihantar oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, dan kadar tarif yang dikenakan akan “sangat adil” bergantung kepada defisit perdagangan dan hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Beliau turut menyatakan bahawa negara-negara yang tidak bersetuju dengan kadar tarif boleh memilih untuk menghasilkan produk mereka di AS:

“Jika mereka mengadu, jika mereka mahu kadar tarif sifar, maka bina produk anda di sini, di AS,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

Pentadbiran Trump sebelum ini telah mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import, dan tarif “timbal balik” sehingga 50 peratus terhadap lebih 60 negara.

Penangguhan sementara terhadap tarif tersebut dijadualkan tamat pada 9 Julai, dan surat-surat ini dijangka menjadi penanda kepada fasa baharu dasar perdagangan AS.

Penganalisis perdagangan memberi amaran bahawa pendekatan unilateral ini boleh meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan hubungan ekonomi antarabangsa, terutamanya jika surat tersebut dihantar tanpa rundingan lanjut.






#Donald Trump #tarif #surat #negara asing