DUNIA
Trump umum pelan baharu bantuan senjata untuk Ukraine, beri amaran tarif keras terhadap Rusia

Nada Trump (kanan) terhadap Putin dilihat semakin tegas, meskipun beliau masih menyalahkan Kyiv dalam beberapa kenyataan berhubung punca serangan berskala penuh oleh Rusia pada Februari 2022. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk membekalkan senjata canggih kepada Ukraine menerusi negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain memberi amaran keras kepada Rusia dengan pengenaan tarif jika tiada penyelesaian damai dicapai dalam tempoh 50 hari.
“Kita mahu Ukraine mampu bertindak seperti yang mereka kehendaki,” kata Trump dalam sidang media bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di Washington.
Rutte dalam pada itu mengesahkan, AS bersetuju untuk "membekalkan secara besar-besaran keperluan Ukraine melalui NATO", manakala kos pembiayaan akan ditanggung negara-negara Eropah.
Trump turut mendedahkan, sistem pertahanan udara Patriot milik negara-negara Eropah akan dihantar ke Kyiv sebagai keperluan mendesak untuk menghadapi serangan udara Rusia, sebelum diganti dengan sistem baharu dari Amerika Syarikat.Walaupun kedua-dua pemimpin tidak memberikan butiran terperinci mengenai jenis senjata yang akan dihantar, Rutte memaklumkan, ia merangkumi peluru berpandu dan peluru.
Bagaimanapun, Trump menyatakan bahawa senjata berteknologi tinggi bernilai berbilion dolar akan segera dihantar ke medan perang bagi memperkukuh pertahanan Ukraine.
“Saya kalau jadi Vladimir Putin hari ini... saya akan pertimbang semula sama ada sudah tiba masa untuk ambil serius rundingan damai mengenai Ukraine,” kata Rutte, yang disambut anggukan oleh Trump.
Trump turut mengumumkan bahawa sekiranya tiada perjanjian damai dicapai dalam tempoh 50 hari, Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sekunder sebanyak 100 peratus terhadap semua negara yang masih berdagang dengan Rusia.
Langkah itu bermakna mana-mana negara yang masih menjalankan perdagangan dengan Moscow akan dikenakan cukai import berganda sekiranya ingin menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Sebagai contoh, jika India masih membeli minyak dari Rusia, maka syarikat-syarikat AS yang ingin mengimport produk dari India akan dikenakan tarif sebanyak 100 peratus, menjadikan barangan itu terlalu mahal dan akhirnya kurang kompetitif di pasaran tempatan.
Langkah tersebut dijangka memberi tekanan besar terhadap ekonomi Rusia, yang mana hampir satu pertiga hasil negara diperoleh daripada minyak dan gas, mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah eksport negara itu.
Namun, pengumuman Trump itu menyaksikan Indeks Bursa Saham Moscow melonjak naik, dipercayai disebabkan pelabur menjangkakan pengumuman yang lebih keras selepas Trump sebelum ini memberi bayangan akan membuat kenyataan penting mengenai Rusia.
Nada lebih keras terhadap Putin
Pengumuman itu juga menandakan kali pertama Trump secara rasmi mengumumkan bantuan ketenteraan baharu kepada Ukraine sejak kembali ke White House.
Menariknya, nada Trump terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin dilihat semakin tegas, meskipun beliau masih menyalahkan Kyiv dalam beberapa kenyataan berhubung punca serangan berskala penuh oleh Rusia pada Februari 2022.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan kemelut yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan ke arah penyelesaian.
Menjawab pertanyaan mengenai hubungan beliau dengan Putin, Trump berkata, mereka “sering berbual mengenai penyelesaian konflik”, namun kecewa kerana panggilan yang disifatkan “baik dan membina” sering diikuti serangan udara dahsyat oleh Rusia ke atas Ukraine.
“Kalau sudah berlaku tiga atau empat kali begini, kita tahu kata-kata tidak lagi bermakna,” ujar beliau.
“Saya tak mahu panggil dia pembunuh, tapi dia memang seorang yang keras. Selama ini dia berjaya memperdaya ramai pemimpin - Clinton, Bush, Obama, Biden... tapi bukan saya. Pada satu tahap, kata-kata tidak lagi cukup. Ia perlukan tindakan,” katanya lagi.
Reaksi dunia dan Kremlin
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dari Kremlin mengenai pengumuman Trump, namun beberapa komentar dari Moscow menyatakan sedikit kelegaan.
Bekas penasihat Putin, Sergei Markov menyifatkan, pengumuman tarif itu sebagai “ugutan kosong” yang menunjukkan Trump sudah “putus harapan untuk capai damai di Ukraine.”
Senator Konstantin Kosachev pula menyindir bahawa “jika ini sahaja yang mampu Trump tawarkan mengenai Ukraine, maka ia tidak ubah seperti ribut dalam cawan.”
Tambahnya, dalam tempoh 50 hari, banyak perkara boleh berubah - baik di medan perang, mahupun dalam kalangan kuasa besar seperti AS dan NATO. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami