DUNIA

Trump umum pemegang tiket Piala Dunia akan diberi keutamaan temu janji visa

Agensi 17/11/2025 | 22:40 MYT
Presiden Trump menjangkakan kejohanan bola sepak berprestij itu mampu menjana pendapatan sehingga AS$30 bilion kepada Amerika Syarikat serta mewujudkan sekitar 200,000 peluang pekerjaan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa negara itu akan melaksanakan sistem penjadualan temu janji visa secara keutamaan bagi pelancong asing yang memiliki tiket ke 104 perlawanan Piala Dunia FIFA yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat tahun depan.

“Saya telah mengarahkan pentadbiran saya untuk melakukan segala usaha bagi memastikan Piala Dunia 2026 menjadi kejayaan luar biasa,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval ketika mengumumkan sistem baharu itu.

Beliau menjangkakan kejohanan bola sepak berprestij itu mampu menjana pendapatan sehingga AS$30 bilion kepada Amerika Syarikat serta mewujudkan sekitar 200,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan, Jabatan Negara akan tetap menjalankan proses saringan terhadap semua pelancong, namun menambah 400 pegawai konsular bagi menangani permintaan visa yang dijangka meningkat. - Agensi


#Donald Trump #Piala Dunia FIFA 2026 #keutamaan visa #pentadbiran Amerika Syarikat