DUNIA

Trump umum penubuhan ‘Lembaga Keamanan’ untuk Gaza

Agensi 16/01/2026 | 01:00 MYT
Presiden Trump mengumumkan “Lembaga Keamanan” bagi Gaza, yang disifatkan sebagai elemen utama dalam fasa kedua pelan keamanan yang disokong AS bagi menamatkan perang di wilayah Palestin itu. - Gambar AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis (15 Jan) mengumumkan penubuhan sebuah “Lembaga Keamanan” bagi Gaza, yang disifatkan sebagai elemen utama dalam fasa kedua pelan keamanan yang disokong AS bagi menamatkan perang di wilayah Palestin itu.

“Itu satu penghormatan besar untuk saya umumkan bahawa THE BOARD OF PEACE telah dibentuk,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social, sambil menyatakan bahawa senarai ahli badan tersebut akan diumumkan “dalam masa terdekat."

“Saya boleh katakan dengan pasti bahawa ini adalah lembaga paling hebat dan paling berprestij yang pernah dibentuk pada bila-bila masa, di mana-mana tempat,” katanya.

Penubuhan lembaga itu dibuat selepas pengumuman pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin terdiri daripada 15 anggota, yang ditugaskan mengurus pentadbiran harian Gaza pasca-perang.

Jawatankuasa berkenaan akan beroperasi di bawah penyeliaan lembaga keamanan itu, yang dijangka akan dipengerusikan Trump sendiri.

Pelan tersebut turut merangkumi penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi membantu mengamankan Gaza dan melatih unit polis Palestin yang disaring.

"Tanggungjawab kini berada pada pihak para perantara, penjamin Amerika dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan seterusnya,” kata pemimpin kanan Hamas, Bassem Naim, dalam kenyataan pada Khamis.

Pelan keamanan Gaza yang disokong AS mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, memudahcarakan pembebasan semua tebusan Hamas dan gencatan senjata di wilayah berkenaan.

Fasa kedua pelan kini sedang berjalan, namun masih dibayangi isu-isu yang belum diselesaikan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, pasukan Israel telah membunuh 451 orang sejak gencatan senjata itu didakwa bermula.

Bagi rakyat Palestin, isu paling utama kekal sama - pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza - langkah yang disebut dalam kerangka pelan tersebut tetapi masih belum mempunyai garis masa jelas.

Hamas pula setakat ini enggan membuat komitmen terbuka untuk pelucutan senjata sepenuhnya, syarat yang dianggap Israel sebagai tidak boleh dirunding. - Agensi
#konflik Gaza #Lembaga Keamanan Gaza #Perang Israel-Hamas