INTERNATIONAL

Trump umum rancangan hapus sekatan ke atas Syria

Agensi 13/05/2025 | 22:40 MYT
Presiden Trump, berucap di Forum Pelaburan Arab Saudi - Amerika Syarikat yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada Selasa.- Gambar Reuters
RIYADH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan rancangan beliau untuk menarik balik sekatan ke atas Syria susulan kejatuhan rejim Bashaar al-Assad, yang menurutnya akan “memberi peluang kepada negara itu untuk mencapai kegemilangan.”
Trump membuat pengumuman itu ketika berucap di Forum Pelaburan Arab Saudi - Amerika Syarikat, di sini, selepas mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Syria telah lama dilanda penderitaan, peperangan dan pertumpahan darah selama bertahun-tahun. Itulah sebabnya pentadbiran saya telah mengambil langkah pertama untuk memulihkan hubungan normal antara Amerika Syarikat dan Syria - buat kali pertama dalam lebih sedekad,” katanya.
Trump turut memaklumkan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadualkan bertemu dengan Menteri Luar Syria di Turkiye “pada penghujung minggu ini.”
Rejim Assad tumbang pada Disember lalu semasa pentadbiran Presiden Biden dan kerajaan baharu Syria berharap pentadbiran Trump akan mempertimbangkan untuk menamatkan sekatan keras yang dikenakan ke atas negara itu.
“Sekatan itu memang keras dan menyakitkan, namun ia memainkan peranan yang sangat penting ketika itu. Tetapi kini, tibalah masa mereka untuk bersinar,” katanya lagi.
“Jadi saya ucapkan, ‘Semoga berjaya, Syria.’ Tunjukkan kepada dunia sesuatu yang luar biasa.”
Trump turut menyatakan harapan agar kerajaan baharu Syria berjaya menstabilkan negara serta mengekalkan keamanan.
Presiden Syria yang baharu, Ahmad al-Sharaa, sebelum ini pernah menubuhkan kumpulan pejuang dikenali sebagai Jabhat al-Nusra (yang bermaksud “Barisan Kemenangan”) yang pernah berikrar setia kepada al-Qaeda.
Namun pada 2016, beliau memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas itu, menurut Pusat Analisis Tentera Laut Amerika Syarikat (US Center for Naval Analyses).
Menurut seorang pegawai White House, Trump dijangka bertemu secara tidak rasmi dengan al-Sharaa di Riyadh pada hari Rabu. - Agensi
#Donald Trump #sekatan Syria #Bashar al-Assad #Trump lawat Arab Saudi