INTERNATIONAL

Trump umum rundingan nuklear secara langsung dengan Iran semasa pertemuan dengan Netanyahu

Astro Awani 08/04/2025 | 00:10 MYT
TRUMP: Kami sedang mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran, dan ia telah pun bermula. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengumumkan, Amerika Syarikat (AS) akan memulakan rundingan terus dan berprofil tinggi dengan Iran berhubung program nuklearnya pada Sabtu ini - pengumuman mengejut yang dibuat semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Kami sedang mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran, dan ia telah pun bermula,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval pada Isnin selepas satu pertemuan yang sepatutnya tertumpu kepada usaha Israel mengelak daripada dikenakan tarif AS.
“Mungkin satu perjanjian akan tercapai dan itu akan menjadi sesuatu yang hebat. Kami akan mengadakan pertemuan yang sangat penting pada hari Sabtu, hampir di peringkat tertinggi,” tambahnya.
Pengumuman mengejut itu dibuat hanya sehari selepas Iran menolak rundingan secara langsung mengenai perjanjian baharu untuk membendung program nuklear republik Islam itu dengan menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak bermakna.
Presiden AS itu telah menarik diri daripada perjanjian nuklear terdahulu pada 2018 semasa penggal pertamanya dan terdapat spekulasi meluas bahawa Israel, dengan bantuan AS, mungkin akan menyerang fasiliti Iran jika tiada perjanjian baharu dicapai.
Trump berkata: “Semua orang bersetuju bahawa membuat perjanjian adalah lebih baik daripada melakukan perkara yang jelas - dan perkara yang jelas itu bukan sesuatu yang saya mahu terlibat atau secara jujurnya, yang Israel mahu terlibat, jika ia boleh dielakkan.”
Pengumuman mengejut itu turut dibuat ketika Netanyahu menjadi pemimpin asing pertama yang secara peribadi merayu agar dikecualikan daripada tarif AS yang sedang menjejaskan ekonomi global.
Perdana Menteri Israel itu berjanji akan “menghapuskan” defisit dagangan antara kedua-dua negara serta meruntuhkan “halangan-halangan” perdagangan.
Israel juga telah menghapuskan tarif terakhir ke atas import dari AS menjelang pertemuan tersebut.
Kata Netanyahu, beliau percaya Israel boleh menjadi “model kepada banyak negara” dalam rundingan berkaitan tarif.
Netanyahu dan Trump turut membincangkan situasi di Gaza, di mana satu gencatan senjata jangka pendek yang dimediasi oleh AS antara Israel dan Hamas telah runtuh.
Menurut Netanyahu, rundingan baharu sedang diusahakan untuk membebaskan lebih ramai tebusan dari Gaza yang dilanda perang.
“Kami sedang berusaha ke arah perjanjian baharu yang kami harap akan berjaya, dan kami komited untuk membebaskan semua tebusan,” kata Netanyahu di Pejabat Oval.
Trump turut mengulangi rancangannya agar AS “mengawal” Semenanjung Gaza - yang disifatkannya sebagai “sebidang hartanah yang hebat” - satu idea yang mula diumumkannya semasa lawatan Netanyahu sebelum ini pada Februari.
Terdahulu, Trump menyambut Netanyahu di luar Sayap Barat White House dan melambai tangan, sebelum kedua-dua pemimpin - masing-masing mengenakan sut gelap, tali leher merah dan kemeja putih - masuk ke Pejabat Oval untuk bermesyuarat.
Satu sidang media yang dijadualkan antara kedua-dua pemimpin telah dibatalkan secara tiba-tiba tanpa penjelasan, satu langkah yang dianggap luar biasa.
Namun mereka tetap bercakap panjang lebar kepada sekumpulan kecil wartawan yang dibenarkan masuk ke Pejabat Oval.
Lawatan Netanyahu ini merupakan yang kedua sejak Trump kembali berkuasa dan dibuat secara tergempar - hanya beberapa hari selepas Trump mengenakan tarif 17 peratus ke atas Israel dalam pengumuman “Hari Pembebasan” minggu lalu.
Trump enggan memberikan pengecualian kepada penerima bantuan ketenteraan AS terbesar itu daripada serangan tarif global yang diumumkannya, sambil berkata, Washington mempunyai defisit perdagangan yang ketara dengan Israel.
Menurut pejabatnya, Netanyahu telah bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer pada Ahad malam sejurus tiba di Washington.
Beliau turut bertemu dengan utusan khas Trump bagi Timur Tengah, Steve Witkoff, pada Isnin.
#Donald Trump #rundingan nuklear #Iran #Benjamin Netanyahu #tarif AS