Trump umum sekatan baru atas Iran susulan serangan loji minyak

Astro Awani
September 21, 2019 01:50 MYT
Donald Trump dan isteri, Melania Trump, menerima kunjungan Scott Morrison dan isteri, Jennifer Morrison, di White House, Washington, DC, 20 Sept, 2019. REUTERS
Donald Trump pada Jumaat mengumumkan sekatan baru ke atas Iran, yang disifatkan paling ketat pernah dikenakan.
Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi bayangan tidak akan membuat keputusan menyerang republik berkenaan.
Sekatan tersebut melibatkan bank pusat Iran dan individu yang berurusan secara langsung dengan bank itu.
Ia dikenakan susulan serangan ke atas dua loji minyak utama kendalian Saudi Aramco, iaitu syarikat minyak gergasi Arab Saudi, yang didakwa didalangi Tehran.
Menurut Trump, mengenakan sekatan lebih mudah berbanding mengambil tindakan ketenteraan.
"Ini adalah sekatan paling keras pernah dikenakan ke atas sesebuah negara. Kita melaksanakannya lebih daripada apa yang pernah dibuat sebelum ini, dalam kes Iran.
"Hari ini kita kenakan sekatan ke atas bank pusat, dan anda boleh saksikan, mereka berdepan banyak masalah, bukan sahaja dengan AS, tetapi juga dalam negara mereka sendiri.
"Kita mempunyai pasukan tentera terkuat di dunia, kalau hendak serang Iran, ia merupakan satu keputusan yang mudah, sangat mudah," katanya pada satu sidang media di sini yang turut disertai Perdana Menteri Australia Scott Morrison.
Terdahulu, Trump mengalu-alukan kunjungan kali kedua pentadbiran Morrison ke AS, mempamerkan hubungan rapat antara dua negara itu, ketika hubungan Washington dengan Beijing dan Tehran sedang terjejas.
"Kebanyakan orang mungkin sangka saya akan terus segera menyerang negara itu. Tetapi kita ada banyak masa. Sementara itu, mereka di Iran juga ada banyak masalah.
"Iran boleh jadi negara yang hebat, negara kaya, tetapi mereka pilih untuk ikut cara yang berbeza. Akan tiba masanya mereka akan sangat menyesali pilihan itu.
"Sesetengah orang mungkin akan kata, saya sepatutnya terus serang negara itu, tetapi saya bertindak bukan kerana orang lain, saya buat apa yang baik untuk AS, dan untuk sekutu kita," tambah Trump.
Dalam perkembangan berasingan, Trump mengaku mahukan satu perjanjian perdagangan yang menyeluruh dengan China.
Katanya, beliau tidak mahu sekadar memeterai sebahagian perjanjian perdagangan semata-mata.
Trump menyifatkan hubungannya dengan Xi Jinping ketika ini sangat baik, tetapi wujud perbezaan pendapat dengan Presiden China itu.
Beliau bagaimanapun mengakui, tidak ada keperluan untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan China sebelum pilihan raya presiden tahun depan.
Namun, sekiranya ia boleh dilaksanakan, ia satu bonus untuk kempennya kelak.
Trump juga memaklumkan, pentadbirannya mencatat perkembangan dalam rundingan bersama China, selepas ia menarik semula tarif yang dikenakan ke atas lebih 400 produk dari negara itu.
"Kami mahu meneliti perjanjian menyeluruh. Bukan perjanjian melibatkan hanya sebahagian.
"China sudah mula membeli produk pertanian Amerika, jika anda mengikuti perkembangan, pembelian yang besar. Tetapi bukan itu sahaja yang kami mahu. Kami mahu perjanjian yang lebih bermakna, yang akan melibatkan berbilion dolar," katanya.
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #Aramco #Australia #Beijing #China #Donald Trump #Iran #minyak #Scott Morrison #sekatan #serangan #tindakan ketenteraan #Washington #Xi Jinping