DUNIA

Trump umum siri tarif baharu berkuat kuasa 1 Okt

Bernama 26/09/2025 | 10:19 MYT
Trump mengumumkan tarif 25 peratus bermula 1 Okt ke atas "kenderaan berat (besar!)" yang dihasilkan di luar AS. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan bahawa selain tarif timbal balik berskala besar yang telah dikenakan secara global, duti khusus terhadap beberapa produk tertentu akan mula berkuat kuasa bermula 1 Oktober, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Presiden AS Donald Trump umum tarif baharu bermula 1 Okt termasuk 25% ke atas kenderaan berat, serta tarif tinggi bagi farmaseutikal, kabinet dapur dan perabot.
  • Tarif dijangka menaikkan harga barangan di pasaran AS, termasuk perabot yang sudah naik hampir 10% sejak tahun lalu.
  • Beberapa syarikat besar rancang pindahkan pengeluaran ke AS, manakala Mahkamah Agung akan menilai kuasa darurat Trump untuk laksana tarif besar-besaran.


Trump mengumumkan tarif 25 peratus bermula 1 Okt ke atas "kenderaan berat (besar!)" yang dihasilkan di luar AS.

"Kita perlu memastikan para pemandu lori kita kekal kukuh dan stabil dari segi kewangan atas banyak sebab, tetapi paling utama demi keselamatan negara!" katanya dalam satu hantaran.

Terdahulu, ketika pentadbiran Trump mengenakan tarif terhadap keluli dan aluminium, tembaga serta kenderaan, syarikat automotif AS dilaporkan mempertimbangkan untuk mendapatkan lebih banyak komponen dari Mexico bagi memanfaatkan konsesi di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).

Menurut Biro Statistik Buruh, akibat tarif, harga perabot di pasaran AS pada Ogos 2025 meningkat 4.7 peratus berbanding Ogos 2024.

Harga perabot untuk ruang tamu dan ruang makan pula naik 9.5 peratus sepanjang 12 bulan lalu.

Bagi sektor farmaseutikal, Trump berkata pada Ogos bahawa AS akan memulakan dengan "tarif rendah" ke atas ubat import sebelum dinaikkan kepada 150 peratus dalam tempoh 18 bulan dan akhirnya 250 peratus.

Syarikat farmaseutikal AS mengambil serius ancaman tarif Trump, lapor media pada Khamis.

Beberapa syarikat merancang membina atau memperluas operasi pengilangan di AS pada tahun-tahun mendatang. Namun bagi pengeluar kecil, masih sukar untuk menjangkakan tahap pendedahan yang bakal dihadapi.

Mahkamah Agung AS pada Oktober dijadual meneliti sama ada pentadbiran Trump boleh menggunakan kuasa darurat untuk mempertahankan pelaksanaan tarif besar-besaran terhadap negara lain.

Terdahulu, Trump turut mengumumkan, "Bermula 1 Okt 2025, kita akan mengenakan tarif 100 peratus terhadap sebarang produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan, kecuali jika syarikat sedang membina loji pengeluaran farmaseutikal mereka di Amerika.

"Kita juga akan mengenakan tarif 50 peratus terhadap semua kabinet dapur dan produk berkaitan bermula 1 Okt 2025.

"Selain itu, kita akan mengenakan tarif 30 peratus terhadap perabot upholsteri," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.

-- BERNAMA


#Presiden AS Donald Trump #siri tarif baharu #tarif timbal balik #Oktober