INTERNATIONAL
Trump umum tarif import semikonduktor minggu depan
Donald Trump bercakap semasa sidang media di pejabatnya di Washington. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Kadar tarif ke atas import semikonduktor akan diumumkan dalam tempoh seminggu, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Namun, beliau turut mengesahkan terdapat kelonggaran terhadap beberapa syarikat dalam sektor tersebut.
Antara alasan utama Trump kepada langkah tersebut adalah untuk memastikan penghasilan produk semikonduktor dihasilkan di negara ini.
“Tarif akan dilaksanakan dalam masa terdekat, sama seperti apa yang kita lakukan (kepada produk) keluli, kereta dan aluminium.
“Kami akan lakukan perkara sama dengan semikonduktor, cip,” katanya semasa ditemui wartawan di atas pesawat Air Force One semasa tiba di Washington dari West Palm Beach, seperti dilaporkan Reuters.
Ini bermakna pengecualian ke atas telefon pintar dan komputer daripada tarif timbal balik terhadap China mungkin tidak akan bertahan lama akibat dari pengumumannya itu.
Pada Ahad, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick berkata tarif elektronik tersebut adalah berbeza daripada tarif timbal balik yang diumumkan Trump pada awal April lalu.
Penghujung minggu lalu, satu notis dikeluarkan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menyiarkan pengumuman mengenai telefon pintar, skrin komputer, cip dan komponen elektronik dikecualikan daripada dikenakan tarif.
Langkah ini diambil selepas pentadbiran Trump mengenakan tarif minimum sebanyak 145 peratus ke atas barangan dari China yang diimport ke Amerika.