DUNIA

Trump-Netanyahu bertemu Isnin depan, jangan terperdaya dakwaan yang akan menyusul - Presiden ABIM

Irfan Faruqi 03/07/2025 | 12:59 MYT
Pertemuan Trump dan Benjamin Netanyahu di White House pada Februari lalu. - Gambar fail/AP/Evan Vucci
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka mengadakan pertemuan di White House pada Isnin depan.


Ringkasan AI
  • Trump dan Netanyahu dijangka menggunakan pertemuan di White House untuk menggambarkan serangan ke atas Iran sebagai berjaya.
  • Trump disifatkan sebagai manipulatif dan sebarang kenyataan daripadanya mungkin bermotifkan politik atau ekonomi, bukan semata-mata fakta sebenar.
  • Walaupun Trump mengumumkan Israel bersetuju dengan gencatan senjata selama 60 hari dan cadangan itu disampaikan kepada Qatar dan Mesir, Hamas masih belum membuat keputusan muktamad.


Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pertemuan tersebut diramal akan cuba mengetengahkan dakwaan bahawa operasi AS-Israel ke atas Iran sebagai berjaya.

“Kita perlu beri perhatian kepada hari Isnin (7 Julai) akan datang, yang mana genap 21 bulan sejak 7 Oktober, akan ada pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Trump di White House.

“Pertemuan ini ada tanda tertentu, antara lain, memberi gambaran bahawa seolah-oleh serangan ke atas Iran menunjukkan kejayaan. Elemen 'heroik' ini akan ditonjolkan.

“Sedangkan perhubungan saya dengan wakil dari Iran memberitahu bahawa hal tersebut tidak berlaku (serangan Israel-AS tidak berjaya),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Tambah Fahmi, sebarang dapatan daripada pertemuan Trump-Netanyahu atau sebarang pengumuman berkaitan dengan perang Israel ke atas Gaza selepas ini perlu ditanggapi dengan berhati-hati.

“Kita tahu bahawa Trump seorang yang sangat manipulatif. Pengumuman yang dibuat barangkali ada kaitan dengan faktor ekonomi dan pasaran.

“Kalau kita sekadar ikuti ungkapan Trump di media sosial, orang awam akan beranggapan bahawa beliaulah yang merekayasa segala-galanya yang berlaku,” ujarnya.

Pada Selasa, Trump memberitahu bahawa Israel telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari. Perkara tersebut disahkan oleh Israel pada Rabu, menurut media antarabangsa.

Trump berkata cadangan gencatan senjata itu telah disampaikan kepada Qatar dan Mesir untuk dipanjangkan kepada pihak Hamas. Namun, setakat ini tiada sebarang keputusan muktamad sama ada Hamas akan bersetuju dengan cadangan Trump.



#Benjamin Netanyahu #Donald Trump #gencatan senjata #Palestin