DUNIA
Trump-Putin bertemu di Alaska, rundingan fokus gencatan senjata di Ukraine

Trump bertemu Putin di Pangkalan Bersama Elmendorf-Richardson, Alaska, 15 Ogos 2025. Turut kelihatan, Lavrov (kiri) dan Rubio (dua, kanan). (Foto AP)
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu secara bersemuka di Alaska, pada Jumaat.
Pertemuan itu menandakan perbincangan bersemuka pertama Trump dengan Putin sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden, dengan fokus utama pada perang Rusia ke atas Ukraine.
Ia berlangsung dalam satu sidang kemuncak berprofil tinggi yang berpotensi menentukan sama ada gencatan senjata dapat dicapai dalam peperangan paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Trump menyambut ketibaan Putin di atas karpet merah di sebuah pangkalan Tentera Udara AS, sebelum kedua-duanya bersalaman mesra dan menaiki limousin presiden menuju lokasi sidang.Pertemuan ini adalah yang pertama sejak 2019, dengan latar belakang pentas tertera slogan “Pursuing Peace”.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang tidak dijemput bimbang Trump mungkin bersetuju menamatkan konflik dengan mengiktiraf, walaupun secara tidak rasmi, penguasaan Rusia ke atas satu perlima wilayah Ukraine.
Namun, Trump menegaskan beliau hanya mahu membawa pihak-pihak berkaitan ke meja rundingan.
Perbincangan awal melibatkan Setiausaha Negara Marco Rubio, utusan khas ke Russia Steve Witkoff, pembantu dasar luar Yury Ushakov, dan Menteri Luar Sergei Lavrov.
Sesi lanjutan akan disertai Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, serta Ketua Staf Susie Wiles.
Trump berharap kejayaan mencapai gencatan senjata dalam perang yang berlarutan lebih tiga tahun setengah itu bukan sahaja membawa keamanan serantau, tetapi turut mengukuhkan kredibilitinya sebagai pendamai dunia.
Bagi Putin, kehadiran di Alaska sudah menjadi kemenangan diplomatik yang boleh ditonjolkan sebagai bukti bahawa usaha Barat mengasingkan Rusia telah gagal.
Beliau ketika ini dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang melibatkan pemindahan ratusan kanak-kanak dari Ukraine, dakwaan yang dinafikan Moscow.
Sejak Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Februari 2022, ribuan orang awam terbunuh, majoritinya rakyat Ukraine.
Anggaran konservatif pada Mei lalu menunjukkan jumlah korban dan cedera di kedua-dua pihak mencecah 1.2 juta orang.
Zelensky pada Jumaat menegaskan sidang di Alaska sepatutnya membuka jalan kepada “perdamaian yang adil” dengan melibatkan Ukraine, sambil menolak sebarang penyerahan wilayah secara rasmi kepada Moscow.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami