Tsunami Jepun 2011: Kisah mereka yang ditinggalkan

AP Newsroom
Mac 11, 2021 01:00 MYT
Yasuo Takamatsu (kanan) dan Naoto Matsumura punya kisah berbeza. - AP
BUKAN tidak mahu menerima hakikat, tetapi selagi jasad tidak ditemui, harapan tetap menyala.
Yasuo Takamatsu kehilangan isterinya Yuko, ketika gempa bumi dan tsunami melanda bandar Onagawa, wilayah Miyagi, 10 tahun yang lalu.
Selain berusaha sendiri, Takamatsu juga menyertai pihak berkuasa tempatan sebulan sekali untuk melakukan pencarian bawah laut, bagi mengesan kira-kira 2,500 mangsa yang masih belum ditemui.
"Ia seperti melihatnya (Yuko) setiap kali berada di laut.
"Ketika mencari atau semasa latihan biasa, seolah-olah saya melihatnya, seperti dia berada dekat dengan saya," ceritanya yang menyelam sendirian sebagai salah satu usaha mencari isterinya.
Berita tentang penemuan beberapa jasad dari tragedi itu sejak kebelakangan ini membuatkan Takamatsu yakin dia tidak boleh mengalah.
"Dalam teks pesanan terakhir yang dikirimkan kepada saya, dia berkata, 'Saya mahu pulang'.
"Saya yakin dia masih mahu pulang; saya mahu membawanya pulang," katanya.
BACA: Setia seorang suami cari isteri yang hilang ketika tsunami 2011
Kisah berbeza bagi Naoto Matsumura. Dia mungkin satu-satunya individu yang tinggal di zon pengecualian di sekitar loji nuklear Fukushima Daiichi yang mengalami kebocoran radiasi pada tahun 2011.
Sejak itu, dia bertanggungjawab memberi makan kepada haiwan yang bebas berkeliaran di zon 20 kilometer sekitar Tomioka, bandar yang tersepit di antara dua stesen janakuasa nuklear di utara dan selatan.
"Saya tak sampai hati meninggalkan haiwan-haiwan ini. Bagaimana saya boleh mengabaikan begitu sahaja setelah memberi mereka makan?
"Mereka akan muncul dalam mimpi saya setiap malam jika saya berbuat begitu," katanya berjenaka.
Tanpa sumber tenaga elektrik atau air, Matsumura menggunakan sepasang generator lama setiap malam dan mendapatkan air dari telaga berdekatan.
Dia makan makanan dalam tin, atau ikan yang ditangkap di sungai berhampiran.
Sedekad berlalu, hampir semua haiwan telah mati kerana usia tua. Yang tinggal bersama Matsumura kini hanya beberapa ekor anjing dan 10 ekor lembu.
Matsumura bukan lagi satu-satunya penduduk di Tomioka, susulan zon pengecualian dibatalkan pada tahun 2017.
Tetapi komuniti yang pernah mempunyai 16,000 penduduk kini hanya mempunyai populasi seramai 1,600 orang.
"Sekiranya ada yang bertanya adakah mereka akan kembali, saya rasa tidak mungkin.
"Rumah mereka sudah dirobohkan dan mereka mempunyai rumah baharu di tempat lain.
"Mengapa mereka mahu kembali ke sini?" katanya.
#tsunami #gempa bumi #Jepun #Fukushima #loji nuklear #Yasuo Takamatsu #Yuko #Naoto Matsumura