DUNIA

Tsunami lemah landa timur laut Jepun selepas gempa 6.9 magnitud, tiada kerosakan dilapor

Bernama 09/11/2025 | 22:20 MYT
Gelombang tsunami setinggi 20 sentimeter dilaporkan di Kuji dan Ofunato. - Foto X/@geotechwar
TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud di Lautan Pasifik pada Ahad menyebabkan tsunami lemah di timur laut Jepun, mencetuskan pemindahan penduduk di beberapa kawasan pantai dan gangguan sementara perkhidmatan kereta api laju Shinkansen, lapor Agensi Berita Kyodo.


Ringkasan AI
  • Gempa bumi 6.9 magnitud di Lautan Pasifik mencetuskan tsunami lemah di timur laut Jepun, menyebabkan pemindahan penduduk di kawasan pantai dan gangguan sementara perkhidmatan kereta api laju Shinkansen.
  • Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memperbarui magnitud gempa kepada 6.9, mengeluarkan amaran tsunami setinggi 1 meter bagi Wilayah Iwate. Tiada kecederaan dilaporkan.
  • Gelombang tsunami setinggi 20 sentimeter dilaporkan di Kuji dan Ofunato, manakala perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen turut dihentikan sementara akibat bekalan elektrik terputus.


Agensi Meteorologi Jepun (JMA), yang menyemak semula magnitud daripada laporan awal 6.7, telah mengeluarkan amaran tsunami setinggi 1 meter bagi Wilayah Iwate susulan gegaran yang berlaku pada pukul 5.03 petang di perairan Pantai Sanriku pada kedalaman kira-kira 16 kilometer.

Gempa itu mencatatkan bacaan 4 pada skala intensiti seismos Jepun (skala 7 mata) di beberapa kawasan Wilayah Iwate dan Miyagi, namun tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Penduduk di kawasan pantai Iwate termasuk di Ofunato, Rikuzentakata dan Otsuchi telah diarahkan berpindah. Amaran tsunami dan arahan pemindahan itu ditarik balik kemudian pada Ahad.

Gelombang tsunami setinggi 20 sentimeter dilaporkan di Kuji dan Ofunato, manakala gelombang 10 sentimeter dikesan di Miyako dan Kamaishi, menurut agensi berkenaan.

Perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen antara Stesen Sendai dan Shin-Aomori turut dihentikan sementara selepas bekalan elektrik terputus akibat gempa bumi itu, menurut pengendalinya JR East.

-- BERNAMA






#gempa bumi #tsunami #JMA #Pantai Sanriku