Tsunami Selat Sunda: Angka korban meningkat 229 orang

Khairunnisa Kasnoon
Disember 24, 2018 01:30 MYT
Sebuah kereta dilihat antara tinggalan kejadian tsunami yang melanda pantai Carita, di Panadeglang, wilayah Banten, Indonesia, 23 Dis, 2018. REUTERS
Angka korban Tsunami Selat Sunda meningkat kepada 229 orang sehingga tengah malam tadi.
Menurut Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, jumlah itu adalah yang terkini sehingga jam 11:30 malam waktu tempatan.
"Jumlah korban nyawa sehingga kini meningkat 229 orang," beliau dipetik berkata Detik.com.
Jumlah angka korban dijangka terus meningkat.
BACA: Tsunami Selat Sunda: Angka korban meningkat lebih 222 orang
Menurut Sutopo, selain mangsa korban, 408 orang yang lain dilaporkan masih hilang, 720 orang cedera dan lebih 4,000 mangsa dipindahkan.
“Selain itu, jumlah kemusnahan sehingga malam tadi melibatkan 528 unit rumah rosak teruk, 1 unit rumah musnah dihanyut ombak, 82 unit rumah rosak,” ujarnya.
BACA: Sah! Ia tsunami di Selat Sunda - Sutopo Purwo Nugroho
Beliau pada masa sama mengingatkan penduduk supaya terus bertenang dan tidak mendengar khabar angin.
Tegasnya, maklumat rasmi akan terus disampaikan kepada mangsa sekiranya ada.
#mangsa #Sutopo Purwo Nugroho #tsunami