DUNIA

Tujuh pelajar maut, bumbung sekolah kerajaan runtuh

Astro Awani 25/07/2025 | 11:46 MYT
Pasukan penyelamat terdiri daripada guru, penduduk kampung dan anggota polis bertindak pantas menarik keluar mangsa dari runtuhan sebelum bantuan kecemasan tiba. -Gambar Reuters
JHALAWAR: Sekurang-kurangnya tujuh pelajar terbunuh dan lebih 30 lagi cedera, termasuk beberapa yang kritikal, selepas bumbung sebuah sekolah kerajaan runtuh ketika sesi pagi di daerah Jhalawar, India.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya tujuh pelajar terbunuh dan lebih 30 cedera selepas bumbung sekolah kerajaan runtuh ketika sesi pagi di Jhalawar, Rajasthan, dipercayai akibat hujan lebat dan keadaan bangunan yang uzur.
  • Penduduk tempatan mendakwa telah membuat aduan mengenai keretakan dan kebocoran bumbung sekolah sebelum kejadian, namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
  • Pemimpin negara termasuk Perdana Menteri India dan Ketua Menteri Rajasthan menyatakan rasa dukacita, dan siasatan serta bantuan kepada mangsa telah dijanjikan oleh kerajaan negeri.


Menurut pihak berkuasa tempatan, insiden berlaku sekitar jam 7.45 pagi waktu tempatan di Sekolah Rendah Kerajaan Piplodi, blok Manoharthana, ketika pelajar sedang berkumpul untuk bacaan doa.

Menurut Superintenden Polis Jhalawar, Amit Kumar, seramai 35 pelajar berada di dalam bangunan ketika struktur bumbung dan dinding tiba-tiba runtuh.

“Empat pelajar maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Sepuluh pelajar telah dirujuk ke Hospital Daerah Jhalawar, dengan tiga hingga empat dalam keadaan kritikal,” katanya.

Pasukan penyelamat terdiri daripada guru, penduduk kampung dan anggota polis bertindak pantas menarik keluar mangsa dari runtuhan sebelum bantuan kecemasan tiba.

Hujan lebat dan keadaan bangunan yang uzur dipercayai menjadi punca utama kejadian.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan tragedi itu sebagai sangat menyedihkan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kejadian di sebuah sekolah di Jhalawar, Rajasthan sangat menyayat hati dan menyedihkan. Doa saya bersama para pelajar yang terkesan dan keluarga mereka dalam saat sukar ini.

"Saya mendoakan agar semua yang cedera segera sembuh. Pihak berkuasa sedang memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas," tulis Modi di X.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Menteri Pertahanan, Rajnath Singh, turut menyatakan rasa dukacita atas kehilangan nyawa muda yang tidak berdosa.

Ketua Menteri Rajasthan, Bhajanlal Sharma, telah melawat lokasi kejadian dan hospital, serta mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Menteri Pendidikan Negeri, Madan Dilawar, berjanji semua mangsa akan menerima rawatan terbaik dan pampasan sewajarnya akan disalurkan kepada keluarga terlibat.

Penduduk tempatan mendakwa mereka telah beberapa kali membuat aduan mengenai keadaan bumbung sekolah yang retak dan bocor, namun tiada tindakan pembaikan diambil oleh pihak berkuasa sebelum kejadian berlaku.
















#tujuh pelajar terbunuh #bumbung sekolah kerajaan runtuh #Jhalawar Rajasthan #bangunan uzur