Tunjuk perasaan di Sudan: Kesemua 49 rakyat Malaysia selamat - Wisma Putra

Bernama
November 1, 2021 15:11 MYT
Kesemua 49 rakyat Malaysia, termasuk 25 pelajar di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan demonstrasi besar-besaran yang diadakan di seluruh negara tersebut pada 30 Oktober 2021. - Gambar fail/REUTERS
PUTRAJAYA: Kesemua 49 rakyat Malaysia, termasuk 25 pelajar di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan demonstrasi besar-besaran yang diadakan di seluruh negara tersebut pada 30 Oktober 2021, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).
Kementerian dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan seorang warganegara Malaysia telah meninggalkan Sudan pada 28 Oktober 2021, manakala 17 rakyat Malaysia dan seorang rakyat Thailand yang bekerja dengan PETRONAS masih ditempatkan secara sementara di Kediaman Rasmi Duta.
"Tiada rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung. Rakyat Malaysia di lokasi-lokasi lain dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing," menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Sudan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia, atau Wisma Putra menerusi saluran-saluran berikut:
Kedutaan Malaysia di Khartoum: +249 99 070 0350
E-mel : mwkhartoum@kln.gov.my
Media sosial : @Malawakil, Khartoum (Facebook)@MYEmbKhartoum (Twitter)
Wisma Putra: 03-88874201 / 4530 (waktu pejabat), 03-88874570 (selepas waktu pejabat)
-- BERNAMA
#Sudan #rakyat Malaysia #Kementerian Luar #Wisma Putra #Petronas