ISTANBUL: Turkiye berjaya mendapatkan visa transit bagi pemandu trak komersialnya yang menghantar barangan ke rantau Teluk melalui Arab Saudi, sekali gus membuka semula laluan perdagangan darat penting selepas 10 tahun berdepan halangan diplomatik dan logistik, kata Menteri Perdagangan Turkiye, Omer Bolat.
Menurut Anadolu Ajansi, Bolat menyifatkan perkembangan itu sebagai satu kejayaan besar ketika berucap pada sidang kemuncak e-dagang dalam era kecerdasan buatan (AI) di Istanbul pada Jumaat.
Advertisement
“Hubungan Turkiye dan Arab Saudi adalah sangat baik dan walaupun isu visa transit berlarutan sejak sedekad lalu, ia kini diselesaikan mulai Khamis, sekali gus membolehkan pemandu trak Turkiye bergerak ke rantau Teluk menggunakan visa transit Arab Saudi,” katanya.
Penyelesaian isu visa ini berlaku pada waktu penting bagi rantaian bekalan global susulan konflik ketenteraan berterusan di Asia Barat yang menjejaskan perdagangan maritim.
Bolat berkata logistik darat melalui Turkiye kini menjadi semakin penting dalam situasi semasa, memandangkan negara itu berfungsi sebagai jambatan geografi semula jadi ke Eurasia.
Beliau turut menyatakan harapan agar gencatan senjata selama 15 hari di rantau itu dapat dikekalkan dan berkembang menjadi kestabilan berkekalan, kerana ekonomi global bergantung kepada keamanan bagi mengelakkan kejutan bekalan serta kenaikan harga berpanjangan.
Selain perjanjian transit dengan Arab Saudi dalam agenda logistik, Bolat berkata sektor e-dagang domestik Turkiye mencatat lonjakan ketara daripada hanya 5.0 peratus daripada jumlah perdagangan negara kepada 20 peratus berdasarkan data terkini.
Peningkatan pesat digitalisasi ini menjadikan syarikat Turkiye sebagai sasaran menarik bagi pelabur antarabangsa yang mencari pusat stabil antara pasaran Barat dan China.
Bolat berkata mesyuarat peringkat tinggi baru-baru ini di Portugal dan Brussels menunjukkan keyakinan kukuh dan semakin meningkat terhadap ekonomi Turkiye.
Beliau turut memaklumkan yang Portugal sedang aktif menarik kontraktor Turkiye untuk menyertai bidaan projek infrastruktur dan perumahan awam bernilai €60 bilion (AS$70.2 bilion).
Beliau berkata Kesatuan Eropah juga semakin berminat untuk menjalin kerjasama dengan industri pertahanan Turkiye yang berkembang pesat.
-- BERNAMA-ANADOLU