DUNIA

Turkiye harap langkah iktiraf negara Palestin percepatkan pelaksanaan penyelesaian dua negara - Presiden

Bernama 21/09/2025 | 09:26 MYT
Erdogan berkata apa yang membezakan Perhimpunan Agung PBB minggu ini berbanding tahun-tahun sebelumnya ialah banyak negara akan mengiktiraf Negara Palestin. - Reuters
ISTANBUL: Turkiye berharap keputusan pelbagai negara untuk mengiktiraf Negara Palestin akan mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian dua negara, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Erdogan berkata apa yang membezakan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini berbanding tahun-tahun sebelumnya ialah banyak negara akan mengiktiraf Negara Palestin.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di Istanbul sebelum berlepas ke Perhimpunan Agung PBB di New York.

Mengenai penyertaan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa pada Perhimpunan Agung kali ini, Erdogan menegaskan Ankara tidak akan mengabaikan Damsyik dan akan menggunakan segala cara yang ada setiap hari untuk membantu menjadikan negara jirannya itu lebih kuat.

Erdogan berkata beliau juga berpeluang bertemu dengan al-Sharaa di Turkevi Centre atau Rumah Turki di New York semasa Perhimpunan Agung berlangsung.

-- BERNAMA

#perhimpunan agung #PBB #iktiraf Negara Palestin #Recep Tayyip Erdogan #penyelesaian dua negara