Turkiye harap Rusia, Ukraine laksanakan perjanjian eksport bijirin - Erdogan

Bernama
Julai 26, 2022 03:45 MYT
"Kami menjangkakan semua pihak untuk bertindak mengikut persetujuan yang telah dicapai," kata Erdogan. - REUTERS
ANKARA: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa pihak-pihak yang menandatangani perjanjian pada minggu lepas supaya menghapuskan sekatan eksport bijirin Laut Hitam Ukraine bagi menghormati perjanjian itu.
"Kami menjangkakan semua pihak untuk bertindak mengikut persetujuan yang telah dicapai," kata Erdogan dalam temu bual secara langsung dengan penyiar nasional TRT Haber, lapor Agensi Anadolu.
"Menerusi perjanjian ini, kesan krisis makanan global akan mula reda," tambahnya.
Pada Jumaat, Turkiye, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian untuk menyambung semula eksport bijirin melalui pelabuhan Ukraine di Odesa, Chernomorsk dan Yuzhny selepas beberapa bulan terhenti akibat krisis Rusia-Ukraine.
Di bawah perjanjian itu, pusat penyelarasan bersama telah ditubuhkan di Istanbul untuk menjalankan pemeriksaan di pintu masuk dan keluar pelabuhan, serta memastikan keselamatan laluan untuk kapal-kapal.
Mengulas mengenai pelabuhan Odesa telah diserang pada hujung minggu lalu, Erdogan berkata peristiwa itu "menyedihkan" Turkiye, sambil menambah bahawa "kegagalan di sini akan memberi kesan kepada kita semua."
-- BERNAMA
#eksport bijirin #Recep Tayyip Erdogan #Rusia #Ukraine