WASHINGTON: Turkiye menandatangani perjanjian pembiayaan bernilai €1.67 bilion (AS$1.9 bilion) dengan Bank Dunia pada Rabu bagi projek Istanbul North Rail Crossing (INRAIL), yang bertujuan memperkukuh laluan perdagangan antara benua, lapor Anadolu Ajansi.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Perbendaharaan dan Kewangan Turkiye Mehmet Simsek dan Pengarah Urusan Operasi Bank Dunia Anna Bjerde semasa Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Washington.
Advertisement
Simsek berkata perjanjian itu merupakan projek ketiga terbesar yang pernah diluluskan oleh Bank Dunia, sambil menambah bahawa keseluruhan projek itu disokong pembiayaan berjumlah AS$8.1 bilion, dengan kira-kira 83 peratus daripadanya disediakan oleh institusi antarabangsa.
“Perjanjian ini menyediakan pembiayaan, memperkukuh piawaian dan menghantar isyarat jelas keyakinan kepada pasaran global,” katanya.
Projek INRAIL melibatkan pembinaan laluan kereta api elektrik berkapasiti tinggi sepanjang 127 kilometer yang merentasi Selat Bosphorus melalui Jambatan Yavuz Sultan Selim, sekali gus memintas kawasan metropolitan Istanbul.
Projek itu dijangka meningkatkan kapasiti pengangkutan rel kargo dan penumpang secara ketara, mengurangkan kos logistik, menghubungkan dua lapangan terbang Istanbul antara satu sama lain serta dengan rangkaian rel nasional, selain memperkukuh koridor pengangkutan utama di peringkat nasional dan antara benua.
Apabila mula beroperasi kelak, projek itu dijangka meningkatkan kapasiti tahunan pengangkutan kargo rel merentasi selat berkenaan daripada tiga juta tan kepada 50 juta tan.
Simsek berkata projek INRAIL akan menghapuskan satu daripada “kekangan paling kritikal” di sepanjang Koridor Tengah, iaitu laluan perdagangan terpantas yang menghubungkan Beijing dengan London, dengan tempoh transit hanya 18 hari.
Beliau menambah bahawa projek itu akan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi kepada lebih 400,000 pekerja.
Bjerde berkata perjanjian itu akan memperkukuh kesalinghubungan Turkiye dengan Eropah, Asia dan Asia Barat sekali gus meningkatkan perdagangan serantau dan global.
Beliau menambah bahawa kesan ekonomi projek itu akan meliputi sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.
Pembangunan infrastruktur pengangkutan Turkiye telah menarik pelaburan berjumlah AS$355 bilion sepanjang dua dekad lepas, termasuk AS$180 bilion bagi projek jalan raya serta peluasan rangkaian lapangan terbang.
Sektor rel merupakan fokus seterusnya bagi peluasan, dengan Bank Dunia memainkan peranan penting dalam usaha berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU