DUNIA

Turkiye pantau rapat flotila Sumud, Erdogan hargai keprihatinan Sepanyol

Agensi 28/09/2025 | 23:20 MYT
Erdogan (kanan) menegaskan kepada Sanchez bahawa Ankara akan terus berusaha menghentikan serangan Israel di Gaza serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu tidak terganggu. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan kepada Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez bahawa Ankara akan terus berusaha menghentikan serangan Israel di Gaza serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu tidak terganggu.

Kenyataan Pejabat Presiden Turkiye pada Sabtu memaklumkan, Erdogan menyatakan rasa puas hati terhadap keprihatinan Sanchez mengenai flotila bantuan Sumud yang bertujuan memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.

“Presiden kami menyuarakan penghargaan atas sensitiviti Perdana Menteri Sanchez mengenai flotila bantuan Sumud dan menegaskan Turkiye sedang memantau rapat perkembangan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Pada Jumaat lalu, sebuah kapal perang Tentera Laut Sepanyol berlepas awal pagi dari Pelabuhan Cartagena bagi memberikan sokongan kepada flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza susulan beberapa serangan dron ke atas kapal terlibat.

Kapal Tindakan Maritim (BAM) Furor, yang membawa 46 kru, 10 anggota marin dan satu pasukan perubatan berlayar ke timur Mediterranean selepas menerima arahan daripada Kementerian Pertahanan. - Agensi




#Global Sumud Flotila #kapal perang Sepanyol #presiden turkiye #Recep Tayyip Erdogan #PM Sepanyol #Pedro Sanchez