ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye merampas sebuah kepala patung Zeus diperbuat daripada marmar yang berusia 2,000 tahun serta lebih 7,100 artifak bersejarah lain dalam operasi membanteras penyeludupan di seluruh negara, menurut kenyataan pegawai pada Rabu, lapor Xinhua.
Di wilayah barat Izmir, polis merampas kepala patung Zeus daripada era Rom itu dalam satu operasi di daerah Konak pada Selasa, menurut direktorat keselamatan wilayah tersebut.
Artifak yang berusia kira-kira 2,000 tahun itu disahkan sebagai aset budaya yang dilindungi dan tiga suspek telah ditahan, lapor Agensi Berita Demirören.
Dalam kejadian berasingan, pasukan penguat kuasa kastam merampas sejumlah 7,160 artifak bersejarah menerusi dua operasi di pintu sempadan berhampiran Greece, di wilayah barat laut Edirne, umum Kementerian Perdagangan.
Di pintu sempadan Ipsala, imbasan sinar-X dan pemeriksaan susulan terhadap sebuah lori yang menuju ke Greece telah mendedahkan 5,935 artifak budaya yang disembunyikan dalam kabinet penyimpanan makanan dan peralatan di bahagian treler.
Barangan tersebut merangkumi 5,685 keping syiling, 130 mata anak panah, 100 bentuk cincin dan 20 aksesori pelbagai jenis.
Dalam satu operasi berasingan di pintu sempadan Kapikule pula, pihak berkuasa menemukan 1,225 keping syiling yang tidak diisytiharkan dalam sebuah lori yang menuju ke Greece.
Kementerian Perdagangan menyatakan bahawa siasatan berhubung kes-kes berkenaan sedang dijalankan.
-- BERNAMA-XINHUA